
KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) terus mengharumkan nama negara apabila dipilih menyertai konsortium penyelidikan antarabangsa melibatkan institusi dari Eropah dan Asia menerusi projek Concrete Innovation for Recycled Content and Low Environmental Impact (CIRCLE) yang dibiayai Kesatuan Eropah bernilai €1.5 juta (lebih RM7.5 juta).
Ketua Projek UNIMAP, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, penglibatan universiti itu dalam projek berimpak tinggi berkenaan membuktikan keupayaan penyelidik tempatan untuk bersaing serta menyumbang dalam agenda penyelidikan global.
Katanya, UNIMAP turut dijangka menerima peruntukan penyelidikan melebihi RM1 juta sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi menyokong aktiviti penyelidikan, mobiliti staf, perkongsian kepakaran dan pembangunan teknologi konkrit mampan.
“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan peranan setiap rakan projek, memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing serta memperkukuhkan kerjasama yang diperlukan bagi mencapai objektif dan petunjuk prestasi utama projek.
“Lebih penting, ia membuka ruang kepada para penyelidik dari pelbagai negara untuk bertukar idea, berkongsi kepakaran dan membina jaringan penyelidikan yang berpotensi melahirkan lebih banyak kolaborasi strategik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Seminar Antarabangsa dan Mesyuarat Konsortium Pertama Projek CIRCLE yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Mohd Mustafa berkata, penyertaan UNIMAP dalam projek tersebut membolehkan universiti berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi konkrit berasaskan bahan kitar semula yang lebih mesra alam.
Katanya, penyelidikan itu sejajar dengan usaha global untuk mengurangkan sisa pembinaan dan perobohan, selain mengurangkan pelepasan karbon dalam industri pembinaan.
Projek CIRCLE dibiayai oleh European Research Executive Agency (REA) di bawah program Marie Skłodowska-Curie Actions (MSCA) Staff Exchanges dalam kerangka Horizon Europe dan akan dilaksanakan dari tahun 2025 hingga 2029.
Konsortium projek itu menghimpunkan 10 institusi dari Portugal, United Kingdom, Perancis, Korea Selatan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Malaysia bagi memperkukuhkan pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti penyelidikan serta jaringan kerjasama global.
Penyertaan UNIMAP dalam konsortium tersebut sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju penyelidikan negara dalam bidang bahan termaju dan teknologi pembinaan mampan di peringkat antarabangsa.






