2 tahun terajui LPKP Sabah, Vivian bangga pelbagai pembaharuan berjaya dilaksana

SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee menyifatkan tempoh dua tahun menerajui Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sebagai satu pengalaman berharga yang menyaksikan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan berjaya dilaksanakan demi memperkukuh sektor pengangkutan awam serta logistik negeri.

Menurut Vivian, antara pencapaian utama sepanjang memegang jawatan Pengerusi LPKP Sabah ialah kejayaan menyelaraskan dasar antara LPKP Sabah dan LPKP Sarawak, selain menangani isu rentas sempadan melibatkan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam bagi memperkukuh industri logistik serantau.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, kami turut berjaya menyelesaikan pelbagai isu berkaitan teksi lapangan terbang termasuk cabotaj dan penambahan pilihan warna kenderaan.

“Selain itu, isu teksi bermeter juga berjaya ditangani melalui penukaran kepada kategori Kereta Sewa Bahagian tanpa memerlukan pertukaran warna kenderaan, sekali gus mengurangkan beban kos yang ditanggung pemandu,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Pejabat LPKP Sabah pada Jumaat.

Beliau berkata, pelbagai usaha turut dilaksanakan bagi memudahkan urusan pelesenan termasuk mengurangkan keperluan dokumentasi yang tidak perlu serta memperkenalkan aplikasi dalam talian iSPKP bermula Januari 2024.

Menurutnya, aspek keselamatan kenderaan perdagangan turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan sistem Sistem Kedudukan Global (GPS) dan TrackScore Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi meningkatkan tahap pemantauan dan keselamatan operasi.

Vivian berkata, LPKP Sabah juga sentiasa berusaha menyelaras serta menyelesaikan pelbagai isu operasi yang dihadapi industri pengangkutan kontena (treler) dengan kerjasama semua pihak berkepentingan bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor logistik negeri.

Dalam sektor pengangkutan awam pula, beliau berkata, pihaknya berjaya meluluskan penyediaan perkhidmatan bas ekspres eksekutif serta melancarkan perkhidmatan Bas Hop-On Hop-Off Sabah.

Selain itu, pelbagai isu berkaitan laluan Sistem Bas Bersepadu (SBST) Sabah berjaya diselaraskan termasuk pelancaran perkhidmatan Bas.My pada 11 Oktober 2025 dan pembukaan semula permohonan lesen Bas Carter dengan syarat pelesenan yang lebih khusus dan berfokus.

“LPKP Sabah turut memperoleh kelulusan Jemaah Menteri Kerajaan Sabah bagi pelaksanaan projek pembinaan perhentian bas baharu serta penambahbaikan perhentian bas sedia ada di laluan SBST dengan peruntukan berjumlah RM3.7 juta,” ujarnya.

Tambah Vivian, pihaknya juga berjaya menyelaras semula laluan serta syarat kontrak ISBSF selain menyelesaikan pelbagai isu berkaitan perkhidmatan e-hailing termasuk membantu pengusaha mendapatkan subsidi minyak bulanan.

Katanya lagi, walaupun pelbagai inisiatif dan penambahbaikan telah dilaksanakan, masih terdapat ruang untuk memperkukuh sektor pengangkutan awam dan logistik sejajar dengan perkembangan semasa industri.

Dalam pada itu, Vivian merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas kepercayaan yang diberikan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi LPKP Sabah sejak 2024 hingga 6 Jun 2026.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga LPKP Sabah atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya percaya kepimpinan baharu LPKP Sabah akan meneruskan usaha memperkukuh dasar serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi manfaat rakyat dan pemain industri pengangkutan di negeri ini,” katanya.

Related Posts

Ops Tiris 4.0: Kegiatan seleweng diesel tumpas

TAIPING – Kegiatan penyelewengan diesel yang dipercayai berselindung di sebalik sebuah stor simpanan tanpa lesen di Kampung Ayer Puteh, Simpang, di sini, berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Projek naik taraf Tamu Donggongon, Kepayan Square, manfaat besar untuk komuniti Penampang

PENAMPANG – Projek menaik taraf Ruang Legar Kepayan Square dan pembinaan Tamu Donggongon baharu beri impak positif kepada komuniti setempat, terutama kepada usahawan penjaja, peniaga kecil dan pengunjung. Timbalan Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

2 tahun terajui LPKP Sabah, Vivian bangga pelbagai pembaharuan berjaya dilaksana

2 tahun terajui LPKP Sabah, Vivian bangga pelbagai pembaharuan berjaya dilaksana

Mengenali, memahami keistimewaan surah Al-Mulk

Mengenali, memahami keistimewaan surah Al-Mulk

Ops Tiris 4.0: Kegiatan seleweng diesel tumpas

Ops Tiris 4.0: Kegiatan seleweng diesel tumpas

Projek naik taraf Tamu Donggongon, Kepayan Square, manfaat besar untuk komuniti Penampang

Projek naik taraf Tamu Donggongon, Kepayan Square, manfaat besar untuk komuniti Penampang

UNIMAP wakili Malaysia dalam projek penyelidikan Kesatuan Eropah

UNIMAP wakili Malaysia dalam projek penyelidikan Kesatuan Eropah

Had umur 16 tahun media sosial wajar lindungi remaja dari ancaman siber – Dr Haryati

Had umur 16 tahun media sosial wajar lindungi remaja dari ancaman siber – Dr Haryati