KOTA TINGGI – Malaysia sedang meneliti beberapa alternatif pembekal peluru berpandu antikapal daripada enam negara bagi menggantikan sistem Naval Strike Missile (NSM) yang gagal diperoleh selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksport persenjataan berkenaan kepada negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara negara yang sedang dipertimbangkan ialah Itali, Perancis, Turki, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah mendapatkan sistem peluru berpandu yang sedang dalam pengeluaran bagi mengelakkan tempoh menunggu yang terlalu lama, selain memastikan ia boleh diintegrasikan dengan aset pertahanan sedia ada.
“Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan. Kita tidak boleh menunggu terlalu lama kerana kapal yang akan diterima pada Disember ini memerlukan sistem peluru berpandu ‘surface-to-surface’ yang mampu mencapai sasaran sejauh 300 kilometer.

“Kita akan melihat negara atau syarikat yang mempunyai peluru berpandu yang sedang dalam pengeluaran supaya bekalan dapat diperoleh lebih awal. Selain itu, aspek integrasi dan harga juga akan dinilai sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini, pada Selasa.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menjelaskan bahawa kemampuan integrasi sistem merupakan faktor penting dalam pemilihan pembekal baharu bagi memastikan kesiapsiagaan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terjejas.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan tindakan undang-undang terhadap syarikat dari Norway yang gagal memenuhi kontrak pembekalan NSM akan diteruskan meskipun kerajaan negara itu telah mengemukakan permohonan maaf.

“Permohonan maaf tidak mengubah pendirian kita. Tuntutan tetap akan diteruskan. Jika Norway benar-benar mahu mengekalkan hubungan persahabatan yang baik dengan Malaysia, mereka boleh membantu menyelesaikan tuntutan ganti rugi yang kini melebihi RM1 bilion.
“Bukan sahaja kos pembelian peluru berpandu bernilai lebih RM600 juta terlibat, malah terdapat kos lain seperti latihan, integrasi sistem dan perbelanjaan berkaitan yang turut terjejas akibat kegagalan mereka memenuhi kontrak,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM serta sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia atas alasan keselamatan negara.
Berdasarkan maklumat daripada Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), kontrak pembekalan NSM kepada TLDM dimeterai pada April 2018 dengan nilai 124 juta euro (kira-kira RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan pembatalan tersebut, Malaysia telah mengemukakan surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion terhadap syarikat berkaitan dan kini menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Norway.
Perkembangan itu dilihat sebagai cabaran baharu kepada usaha pemodenan pertahanan negara, khususnya dalam memastikan aset maritim strategik seperti LCS dapat beroperasi dengan keupayaan tempur yang dirancang bagi memperkukuh keselamatan perairan negara.





