
KOTA KINABALU – Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) bukan sekadar pertandingan ratu kebudayaan, tetapi telah berkembang menjadi sebuah pentas perpaduan yang menyatukan pelbagai bahasa, budaya dan identiti masyarakat Sabah.
Di pentas gemilang Unduk Ngadau (UN) itu, tumpuan sering terarah kepada keanggunan peserta, keindahan busana etnik yang dikenakan dan kebijaksanaan mereka mewakili daerah masing-masing menjawab soalan.
Namun, di sebalik setiap jawapan yang menggetarkan dewan, wujud satu suara yang memastikan setiap kata difahami, yang mengecilkan jurang komunikasi antara peserta UN dan penonton, iaitu suara seorang penterjemah.

Kaamatan 2026 mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya penterjemah Murut diperkenalkan secara rasmi di pentas UN peringkat Sabah dibawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bagi edisi 2026, Tindarama Dr Mary Gambidau.
Apa yang menjadikannya luar biasa, amanah dan tanggungjawab sebagai penterjemah itu digalas oleh seorang pendidik muda berumur 34 tahun dari SK Pekan Nabawan, Cikgu Ardianfasly Inggu atau lebih dikenali sebagai Ardian.
“Sebelum saya dilantik sebagai penterjemah Murut yang pertama untuk UN, saya sudah terlibat dengan Kaamatan secara langsung bermula pada tahun 2018.
“Sebagai performer membawa murid tarian, menjadi juri UN dan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK), menghasilkan busana tradisi Murut, tarian tradisi Murut dan guru bahasa Murut untuk peserta UN serta RTK,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press.

Dia juga berpengalaman lain termasuklah menjadi juri RTK Nabawan dan Pagalungan 2026, juri Sodop UN Kaamatan UPKO 2026, penterjemah finalis RTK Keningau 2025, juri pertandingan tarian PSKPPM peringkat kebangsaan 2017, pereka busana Sodop Pointutunan UN Nabawan (Peringkat Sabah 2023) dan pereka baju tradisi (Pinongkoloh) UN Nabawan (Peringkat Sabah 2023).
Ardian, seterusnya turut terlibat dan meraih Johan Tarian Taseem Peringkat Sabah 2026, Johan Tarian Etnik Kreatif Borneo Arts Festival Labuan Kebangsaan 2025 serta Johan Tarian Rampaian Melayu Negeri Sabah 2025.
Penterjemah mengubah cara penonton melihat peserta
Menurut Ardian, dalam pertandingan yang menampilkan peserta daripada pelbagai latar etnik, bahasa ibunda menjadi medium utama untuk menzahirkan pemikiran, nilai dan identiti.
Namun katanya, tanpa kefahaman bersama, keindahan itu berisiko tidak sampai kepada penonton dan juri.
“Di sinilah peranan penterjemah menjadi signifikan yang memastikan setiap perkataan bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk difahami dan dirasai.

Penterjemah sangat membantu memberi kefahaman kepada juri dan juga semua yang menonton.
“Sebelum ini penonton dilihat tidak akan bersorak kepada peserta yang memberi jawapan yang bukan dalam bahasa yang mereka fahami. Ini memberi gambaran lain yang mana peserta itu tidak ‘wow’.
“Tapi, dengan adanya penterjemah, semua penonton dapat menikmati dan memberi sorakan sama rata kepada peserta apabila jawapan peserta difahami oleh semua orang.
“Ini secara langsung merapatkan jurang perbezaan atas faktor bahasa,” katanya yang kerap dijemput menjadi penterjemah bahasa Murut dan juri di daerah lain seperti Sook dan Keningau.
Cabaran di sebalik ketepatan, kurang seminit terjemah struktur dan makna
Kongsi Ardian, walaupun kelihatan lancar sepanjang pentas UN, tugas penterjemah sebenarnya menuntut kecekapan tinggi untuk memastikan setiap terjemahan membawa makna sebenar, termasuk nilai budaya yang terkandung di dalamnya.
Ardian berkata, tempoh masa yang sangat singkat, kadangkala kurang daripada satu minit memerlukan mereka untuk menterjemah dengan pantas tanpa mengorbankan maksud asal.
“Perkara ini sedikit mencabar sebab bahasa Murut berbeza struktur tatabahasanya jika dibandingkan dengan struktur tatabahasa Melayu.

“Menjadi tanggunggjawab saya untuk memberikan terjemahan yang tidak hanya diterjemah dengan baik tetapi diterjemah dalam Bahasa Melayu dengan mengikut struktur ayat dalam Bahasa Melayu itu sendiri.
“Paling mendebarkan apabila saya menterjemah, saya baru perasan yang kamera betul-betul berada di hadapan muka saya,” kongsinya sambil ketawa.
Ardian juga percaya, tanpa peranan penterjemah, keputusan juri mudah terdedah kepada pertikaian seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
Namun kini, dengan adanya penterjemah, setiap penilaian dapat difahami dengan lebih jelas oleh semua pihak sekali gus mengembalikan keyakinan masyarakat serta menjadikan pertandingan lebih telus dan dihargai.
Peranan pendidikan dan masa hadapan bahasa etnik
Tambah Ardian, usaha memartabatkan bahasa etnik tidak terhenti di pentas pertandingan sahaja sebaliknya perlu diteruskan melalui pendidikan dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
“Antara usaha yang boleh dibuat adalah bertutur sepenuhnya di rumah dalam bahasa ibunda seperti yang dilakukan oleh ibu bapa kami di mana kami hanya mempelajari bahasa lain di sekolah.
“Selain itu, memasukkan semua bahasa etnik di Sabah dalam sukatan pelajaran di sekolah mengikut lokaliti atau majoriti penduduk tersebut, contohnya, bahasa Murut di sekolah yang kawasannya majoriti orang Murut,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia tidak menafikan pengenalan peranan penterjemah di pentas UN turut membuka ruang baharu kepada generasi muda untuk melihat bahasa etnik sebagai satu potensi kerjaya.
“Gelombang Murut pada tahun ini sangat luar biasa, ini kerana ramai anak-anak muda mula berminat mempelajari bahasa Murut apabila wujudnya tugasan translator semasa UN.
“Sebab mereka percaya, penterjemah merupakan satu kerjaya yang akan memberi pulangan kepada mereka disamping dapat melestarikan bahasa ibunda masing-masing,” kongsinya.
Justeru, Ardian yang mengajar Pemulihan Bahasa Melayu dan Matematik itu berharap setiap individu mahupun kerajaan dan institusi pendidikan akan terus memperkasa bahasa etnik yang menjadi identiti suku kaum di sabah ini agar ianya tidak akan hilang ditelan zaman.
“Kaa poh itaka aun poyo, sala poh raino sanggilan poh (Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi),” ujarnya mengakhiri perbualan.
Pada Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, seramai enam penterjemah telah dilantik untuk menterjemaah jawapan peserta Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2026 daripada bahasa Murut, Rungus dan Dusun Tatana kepada Bahasa Melayu agar lebih difahami oleh penontoh di dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan juga di alam maya.
Wakil Papar, Gelvia Vanessa Jenny telah dinobatkan sebagai juara pertandingan dalam acara kemuncak sambutan pesta berkenaan.




