190 peserta SAB seluruh Sabah tamatkan ekspedisi Wilderness Leadership

KIULU – Seramai 190 peserta daripada pelbagai daerah di seluruh Sabah berjaya menamatkan ekspedisi Wilderness Leadership yang berlangsung selama tiga hari dua malam, anjuran Jabatan Pelayanan Belia Seventh-Day Adventist Sabah (SAB) Mission, di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pelayanan Belia SAB Mission merangkap Pengerusi Penganjur, Willborn Gondolos berkata, para peserta dikehendaki membawa peralatan sendiri termasuk khemah, pakaian dan bekalan makanan dengan cara mengangkut segala kelengkapan di bahu masing-masing sepanjang perjalanan.

“Ekspedisi ini memerlukan setiap peserta menempuh perjalanan kaki sejauh 36 kilometer merentasi kawasan ladang, perkampungan, bukit bukau yang curam serta belantara semula jadi, sebagai syarat untuk memenuhi modul Silver Award, satu pengiktirafan kepimpinan khas untuk golongan belia.

“Peserta melalui kawasan ladang, perkampungan dan bukit bukau yang curam dan licin. Keadaan hujan lebat pada sebelah petang namun semuanya sampai dengan selamat,” katanya.

Menurut Willborn, hari kedua merupakan fasa paling mencabar apabila peserta terpaksa menempuh perjalanan sejauh 16 kilometer dari D’Point Campsite Mangkaladom menuju ke Waig-waig Campsite melalui Pinahawon dan Bukit Kulintangan.

“Daripada 230 penyertaan yang diterima, hanya 190 peserta yang mampu meneruskan perjalanan pada hari kedua sehingga ke garis penamat.

“Pendakian curam dengan laluan sejauh 16 kilometer menempuhi belantara, kawasan ladang serta melintasi beberapa anak sungai dengan laluan trail yang ekstrem,” ujarnya.

Tambahnya semua peserta bergerak mengikut kumpulan masing-masing bersama pemandu (guide) yang ditugaskan, manakala pasukan perubatan yang terdiri daripada pengamal perubatan profesional turut disediakan bagi memastikan keselamatan semua peserta sepanjang ekspedisi.

“Ada kumpulan yang sampai seawal jam 2.00 petang dan kumpulan yang terakhir sampai jam 9.30 malam,” katanya.

Tambahnya lagi, pada hari terakhir, para peserta hanya perlu merentasi perjalanan sejauh enam kilometer dari Waig-waig menuju ke garis penamat di Kandaki Homestay, menandakan tamatnya satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan ketabahan.

“Selain menerapkan budaya kepimpinan dan semangat berpasukan, program ini juga bagi mengukuhkan persahabatan sesama peserta dan menyediakan para peserta dengan kecekalan, berdaya tahan dan disiplin yang tinggi.

“Syabas dan tahniah kepada semua peserta dan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para pemandu, pasukan perubatan dan ahli jawatan kuasa yang telah memastikan kelancaran ekspedisi ini,” katanya.

Majlis perasmian peluncuran program disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tuaran merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis penutupan pula disempurnakan oleh ADUN Kiulu, Datuk Joniton Bangkuai. Hadir sama Presiden SAB Mission, Jim Gabu.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi