
MERSING – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 19 Jalan Endau-Mersing, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan isterinya, Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, yang berasal dari Taman Kota Masai, Pasir Gudang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Innova dan Chery Omoda pada waktu tersebut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dinaiki pasangan berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Mersing sebelum dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Toyota Innova dan Chery Omoda. Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Toyota Innova mengalami patah jari kaki kanan manakala isterinya hanya mengalami kecederaan ringan. Sementara itu, pemandu Chery Omoda yang merupakan seorang warga emas berusia 75 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sheral Anuar Mawarday berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi telah menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Myvi.
“Pasukan Keluaran Operasi berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas. Namun, mereka disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.






