
PULAU PINANG – Hujan lebat luar biasa berserta angin kencang menyebabkan kebocoran siling dan limpahan air hujan di beberapa lokasi Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 7 November lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan medianya berkata, kejadian antara jam 5.45 petang hingga 7 malam itu membabitkan Blok A (Blok Lama) dan Blok B (Blok Baharu) hospital berkenaan.
”Kejadian tidak melibatkan keselamatan pesakit dan peralatan perubatan. Anggota HSJ telah mengambil tindakan sewajarnya dalam pengurusan pesakit dan perlindungan peralatan perubatan di lokasi yang berkenaan.
”Kebanyakan limpahan air hujan berlaku di Blok Lama, manakala Blok Baharu telah tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) pada 12 April 2026,” menurut kenyataan itu baru-baru ini.
Tambah kenyataan tersebut, sepanjang tempoh tanggungan berkenaan, tiada kejadian limpahan air hujan luar biasa seperti yang berlaku pada 7 November lalu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Zulhizzam Abdulah berkata, pihak Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama pengurusan hospital dan kontraktor konsesi penyelenggaraan telah mengambil langkah kawalan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat berterusan.
Ia susulan, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat berterusan di Pulau Pinang sehingga Rabu.
Pihak JKNPP turut menegaskan komitmen untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terganggu susulan kejadian berkenaan.



