DOHA – Kejayaan Malaysia mengekalkan kerusi dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 membuka peluang kepada negara untuk terbabit secara langsung dalam perbincangan awal pembangunan teknologi komunikasi generasi keenam (6G).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedudukan itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan dalam menentukan piawaian telekomunikasi, pengurusan spektrum serta hala tuju dasar kesalinghubungan global.
Beliau berkata, penyertaan berterusan Malaysia dalam badan pembuat keputusan tertinggi ITU itu juga membolehkan pengalaman negara dalam pembangunan rangkaian 5G dikongsi di peringkat antarabangsa.
“Saya percaya dengan keberadaan Malaysia pada peringkat tertinggi ini, di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia membuka ruang untuk kita bukan sekadar berkongsi perjalanan mengemudi pelaksanaan 5G dan seterusnya.
“Malah, kita kini mempunyai akses awal kepada perbincangan mengenai kesalinghubungan generasi akan datang atau apa yang disebut sebagai 6G,” katanya.
Fahmi berkata, pengalaman Malaysia dalam pembangunan teknologi telekomunikasi turut boleh dijadikan panduan kepada negara lain, khususnya dalam mengenal pasti cabaran serta langkah mitigasi risiko pada peringkat awal pelaksanaan.
Katanya, penyertaan itu juga penting bagi memastikan suara negara membangun terus diberi perhatian dalam proses membuat keputusan di peringkat global.
“Ini penting kerana pengalaman kita boleh dijadikan iktibar tentang apa yang perlu dielakkan dan diteliti lebih awal, sekali gus membuka peluang kepada negara-negara membangun untuk mempunyai suara dan bersama-sama membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Kementerian Komunikasi, Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas komitmen memastikan Malaysia terus diwakili dalam badan berkenaan.
Malaysia berjaya mengekalkan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027-2030 menerusi pemilihan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU 2026 (PP-26) yang berlangsung di Doha.

