Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menyifatkan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang serta berundur daripada arena politik sebagai satu kehilangan besar kepada parti.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan tersebut diterima dengan perasaan berat hati memandangkan Marina merupakan antara pemimpin muda yang menunjukkan potensi kepimpinan tinggi serta komitmen luar biasa sepanjang penglibatannya dalam perjuangan parti.

Menurut Teo, Marina mula menyertai DAP melalui Cawangan Indahpura di Kulai pada tahun 2017 dan sehingga kini masih memegang jawatan sebagai pengerusi cawangan berkenaan.

“Sejak awal lagi beliau menunjukkan semangat yang menyerlah serta komitmen yang tinggi terhadap perjuangan parti dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2018, Marina dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) selepas kepimpinan parti melihat potensi besar yang dimiliki beliau. Sepanjang tempoh perkhidmatan itu, Marina disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan rajin bekerja, termasuk di kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi DAP.

Teo turut mengimbau keputusan parti pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022 yang memilih Marina sebagai calon DAP bagi kerusi DUN Skudai.

Katanya, pencalonan itu merupakan sebahagian daripada perancangan strategik jangka panjang parti bagi membina rekod perkhidmatan Marina sebagai wakil rakyat sebelum beliau diberi tanggungjawab lebih besar untuk memperluaskan pengaruh dan khidmat DAP ke kawasan baharu.

“Parti memerlukan pemimpin muda yang berkebolehan seperti beliau untuk membantu DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi dan memperkukuhkan sokongan di kawasan yang lebih mencabar,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Johor akan datang, Teo berkata rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan masih berlangsung dan terdapat kemungkinan DAP akan bertanding di sebuah kerusi bandar yang pernah dimenangi gabungan itu pada 2018.

Menurut beliau, kepimpinan parti berpandangan Marina merupakan calon paling berpotensi untuk menggalas misi strategik tersebut kerana mempunyai peluang kemenangan yang tinggi.

Malah, katanya, perkara itu telah dibincangkan secara terperinci bersama Marina termasuk cadangan untuk melantiknya sebagai pengerusi sebuah badan berkanun sebagai platform untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara, tanpa mengira keputusan pilihan raya kelak.

“DAP Johor amat menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal yang berani demi kepentingan parti dan kami akan sentiasa bersama mereka dalam menghadapi cabaran,” katanya.

Dalam masa sama, Teo secara terbuka menyatakan rasa kesal sekiranya perbincangan berkaitan strategi pilihan raya telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati Marina.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebagai Pengerusi DAP Johor, menjadi tanggungjawabnya untuk merangka strategi terbaik bagi memastikan parti berada dalam kedudukan paling kukuh menjelang pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Marina atas segala jasa, komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada parti serta rakyat sepanjang penglibatannya dalam politik.

“Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam apa jua bidang yang bakal diceburi selepas ini. Walaupun beliau memilih untuk berundur dari arena politik, saya yakin masih banyak ruang dan peluang untuk kami bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.

Related Posts

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

TENOM – Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di seluruh Sabah bermula tahun hadapan. Menteri Pertanian,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi