MANILA – Malaysia mahu memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang kecerdasan buatan (AI), termasuk membangunkan kerangka tadbir urus dan mekanisme kawal selia bagi menangani risiko dalam ekosistem digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting dalam memacu transformasi digital dan inovasi, selain meneroka potensi AI yang semakin berkembang.
Katanya, hubungan ASEAN-China juga terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan landskap global.
“Melangkah ke hadapan, kerjasama dengan China perlu diperluas dalam memacu transformasi digital dan inovasi, khususnya dalam meneroka potensi AI.
“Usaha itu termasuk memperkukuh kerangka tadbir urus AI dan mekanisme kawal selia bagi menangani risiko baharu yang timbul dalam ekosistem digital,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia menghargai sokongan berterusan China terhadap prinsip kesepaduan ASEAN, mekanisme yang diterajui ASEAN serta Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Anwar turut mengalu-alukan kerjasama China dalam mengoptimumkan pelaksanaan peruntukan berkaitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), piawaian serta perlindungan persaingan dan pengguna susulan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemindahan teknologi, pembangunan ekosistem perindustrian tempatan serta kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
Katanya, usaha itu penting khususnya dalam memenuhi keperluan industri masa hadapan membabitkan sektor semikonduktor, robotik, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju.
Mengenai isu Laut China Selatan, Anwar berkata, kepentingan keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di ruang udara di kawasan berkenaan menerusi rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang kini berada pada tahap kritikal.
Malaysia sebagai pengerusi bersama China, katanya, kekal komited mengekalkan momentum positif rundingan berkenaan bagi memastikan COC yang berkesan dan substantif dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendirian Malaysia mengutuk kekejaman terhadap rakyat Palestin, termasuk tindakan genosid di Gaza, selain menggesa penyelesaian yang adil dan aman.
Beliau turut menghargai sumbangan China berjumlah AS$100 juta bagi bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.

