Krisis semasa tuntut perubahan struktur ekonomi

PUTRAJAYA – Kerajaan melihat krisis global semasa sebagai pemangkin untuk memperkukuh struktur ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi, peralihan tenaga serta pendekatan lebih menyeluruh dalam penyaluran bantuan kepada rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, situasi ekonomi semasa berbeza berbanding pandemik COVID-19 kerana krisis ketika ini berpunca daripada tekanan bekalan minyak sebelum merebak ke sektor lain dan memberi kesan lebih kompleks terhadap ekonomi dunia.

“Ketika itu (pandemik COVID-19), keperluannya adalah memastikan perbelanjaan berlaku kerana kegiatan ekonomi ditutup. Ketika ini, krisis yang kita hadapi bermula dengan tekanan dari segi bekalan minyak, kemudian berjangkit kepada bekalan-bekalan lain.

“Krisis ini bermula dengan import dan sebagainya, tetapi kesannya lebih menyengat dari segi impak ekonomi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui perubahan struktur yang lebih mampan.

“Kalau dahulu lebih kepada isu insentif, salur sana sini semua insentif. Tetapi menguruskan keadaan sekarang adalah dengan memperkukuh daya tahan kita,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, perkembangan geopolitik global turut memberi isyarat jelas bahawa penumpuan terhadap ekonomi bernilai tinggi perlu menjadi keutamaan, termasuk pembangunan sektor semikonduktor dan pembungkusan canggih.

Pada masa sama, kerajaan terus memperkukuh usaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN), yang kini membabitkan 1,125 mesin layan diri di seluruh negara.

Beliau berkata, lebih separuh daripada jumlah itu, iaitu 58 peratus, berjaya menjana pendapatan purata melebihi RM2,000 sebulan, manakala nilai jualan terkumpul peserta program berkenaan sudah mencecah lebih RM20 juta.

Katanya, kerjasama bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut diperluaskan menerusi penempatan kira-kira 50 mesin layan diri, termasuk di masjid, surau aktif dan institusi pendidikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan penggunaan biodiesel bermula 1 Jun ini bagi membantu memanjangkan tempoh bekalan diesel sehingga 20 hari setahun.

Langkah itu, katanya, juga selaras dengan agenda peralihan tenaga negara serta usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Related Posts

Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia meningkat lagi bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini susulan pelarasan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Subsidi petrol bersasar perlu dilaksana segera demi kestabilan fiskal negara

KOTA KINABALU – Cadangan semakan semula subsidi petrol bersasar khususnya melibatkan golongan berpendapatan tinggi dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kedudukan fiskal negara lebih mampan dan berdaya tahan dalam mendepani…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda maut, motosikal langgar lembu

Pemuda maut, motosikal langgar lembu

Sabah perkukuh autonomi kesihatan melalui reformasi dasar negeri

Sabah perkukuh autonomi kesihatan melalui reformasi dasar negeri

Diwarmas angkat etika digital berteraskan nilai murni pelihara budi pekerti

Diwarmas angkat etika digital berteraskan nilai murni pelihara budi pekerti

Misteri kereta hilang terungkai, Nissan Almera ditemukan dalam Sungai Senai tanpa pemandu

Misteri kereta hilang terungkai, Nissan Almera ditemukan dalam Sungai Senai tanpa pemandu

PKR Kemaman kekal utuh, setia bersama kepimpinan presiden – Ahmad Nazri

PKR Kemaman kekal utuh, setia bersama kepimpinan presiden – Ahmad Nazri

RM1.32 juta diperuntukkan bagi Jualan Makmur Aidiladha tahun ini

RM1.32 juta diperuntukkan bagi Jualan Makmur Aidiladha tahun ini