
Oleh: Nana Mohamad & Eveline B
SIBU – Bimbang dengan trend jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak Cawangan Sibu mengambil inisiatif proaktif menganjurkan program ‘Jom Ngopi bersama MTPN’ pada Ahad.
Program yang mendapat kerjasama Sibu Digital Innovation Hub (SDIH) itu bertujuan memperkasa tahap literasi digital serta kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat setempat.
Sejajar dengan objektif tersebut, program ini memfokuskan kepada dua topik kritikal iaitu ‘Ancaman Siber dan Scam Online’ serta ‘Bijak Online: Hak Anda Sebagai Pengguna Digital’.
Sesi perkongsian ilmu tersebut dikendalikan oleh barisan panel berwibawa, terdiri daripada Pengerusi MTPN Cawangan Sibu, Lucas Lau; wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Adib Haidar Jool; peguam, Timothy Lim Teng serta wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Inspektor Mohd Yazid Robin.
Menerusi program berkenaan, pihak IPD Sibu tampil mendedahkan pelbagai taktik licik terkini yang sedang giat digunakan oleh sindiket penipuan.
Antara ancaman utama yang didedahkan ialah penipuan pelaburan, pembelian e-dagang, kecurian identiti, akaun media sosial palsu, sindiket penipuan cinta dan penipuan panggilan telefon.
Bagi mengelak terjerat dengan jenayah siber, peserta diberikan panduan praktikal, terutamanya peringatan agar tidak berkongsi maklumat peribadi sewenang-wenangnya.

Orang ramai juga digesa supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu tawaran sebelum membuat pemindahan wang, menukar kata laluan secara berkala dan tidak sesekali menekan pautan yang mencurigakan.
Sementara itu, dari sudut perundangan, Timothy mengingatkan pengguna digital betapa pentingnya menyimpan segala rekod dan bukti transaksi sekiranya terpedaya menjadi mangsa penipuan.
Beliau menegaskan, tindakan pantas membuat laporan polis serta menghubungi saluran bantuan yang tepat adalah sangat kritikal bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi.
Dalam pada itu, pihak penganjur menaruh harapan agar program bertemakan ‘Membudayakan Literasi Digital dan Tanggungjawab Pengguna’ berkenaan dapat dijadikan sebagai agenda berterusan pada masa hadapan.
Usaha berterusan ini disifatkan amat penting demi melahirkan komuniti yang bukan sahaja celik IT, malah lebih peka dan kebal dalam mendepani pelbagai cabaran ekosistem digital masa kini.




