KUALA LUMPUR – Malaysia terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan harga minyak mentah dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ekonomi negara bagi tahun lalu serta suku pertama tahun ini melebihi jangkaan awal kerajaan.
Menurut beliau, keadaan semasa dunia yang dipengaruhi konflik geopolitik dan kenaikan harga minyak tidak menghalang negara daripada merekodkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
“Pertama, pencapaian kita dalam sukan negara dan kedua pertumbuhan ekonomi negara. Tahun lalu, suku tahun akhir dan suku tahun ini dalam keadaan sibuk perang teluk, kemudian harga minyak sekarang sudah lebih AS$100 satu tong.
“Masa kita buat unjuran ekonomi AS$70 satu tong, sekarang AS$ 100 satu tong… tapi Alhamdulillah dalam keadaan begitu pun, prestasi pertumbuhan ekonomi kita tahun lalu dan suku pertama tahun ini lebih tinggi daripada unjuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan perlu terus memberi tumpuan terhadap pengurusan ekonomi negara, khususnya dalam mendepani tekanan kos dan cabaran ekonomi semasa.
Pada masa sama, beliau turut memuji pencapaian sukan negara yang disifatkan berjaya mengatasi sasaran ditetapkan sebelum ini.
Katanya, kejayaan atlet negara melangkaui sasaran wajar dijadikan inspirasi untuk memastikan negara turut mencapai pencapaian lebih baik dalam pelbagai bidang.





