
KOTA KINABALU – Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu terhadap pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM45 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, isteri Mohd Tahir, Fauziah Piut, 61, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka sebelum ini didakwa pada 28 Disember 2016 atas pertuduhan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).
Mahkamah kemudian ditangguhkan bagi prosiding rayuan.



