PUTRAJAYA – Usaha penyokong dan pengikut bekas Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin untuk mencari ‘rumah baharu’ dalam landskap politik pembangkang dipercayai berdepan jalan buntu selepas Perikatan Nasional (PN)memutuskan tidak menerima kemasukan mana-mana parti baharu buat masa ini.
Sumber daripada Bersatu memaklumkan, keputusan tersebut telah dicapai susulan bantahan keras pimpinan Bersatu ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi PN (MTPN), pada Sabtu.
Menurut beliau, Bersatu ketika ini dilihat tergugat dengan kemasukan Hamzah susulan timbul kerisauan PN akan dijadikan platform oleh pemimpin itu serta penyokongnya untuk kembali membina pengaruh dalam PN sehingga mampu menggugat kestabilan dalaman gabungan tersebut.
“Ada beberapa parti sebelum ini memang menyatakan hasrat untuk menyertai PN, namun sehingga kini permohonan mereka masih belum diterima Bersatu ketika ini kita komited tidak mahu parti-parti ini dijadikan tempat kepada bekas pemimpin yang dipecat dan digantung untuk memecah belahkan BN
“Pandangan Tan Sri Muhyiddin dan Muhammad Hilman (Ketua Armada Bersatu) mengambil pendirian tegas dan jelas, kita tidak akan beri ruang sama sekali kepada mereka untuk berada dalam PN,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Bagaimanapun sumber berkata, pimpinan tertinggi Bersatu dalam mesyuarat itu masih terbuka untuk menerima kerjasama politik melalui pendekatan electoral pact tanpa perlu menjadikan mana-mana parti sebagai anggota rasmi PN.
“Rundingan kerusi pilihan raya menerusi pendekatan itu akan diputuskan secara bersama oleh empat parti komponen gabungan tersebut.
“Kerjasama ini tidak membabitkan keperluan memperuntukkan banyak kerusi pilihan raya. Ia bergantung kepada kesediaan parti gabungan memberi laluan supaya kuota atau kerusi mereka diwakili pihak lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa parti termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa); Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman ) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) ada menyatakan hasrat mereka untuk menyertai PN.
Kemasukan mereka dikaitkan dengan kemungkinan bakal menjadi platform politik kepada Hamzah dan penyokongnya untuk terus kekal berada dalam PN, sekali gus berpeluang bertanding atas tiket gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.
Namun, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kelmarin memaklumkan bahawa gabungan itu tidak menerima mana-mana parti baharu sebagai ahli rasmi dalam gabungan berkenaan ketika ini.
Pendekatan electoral pact bukan perkara baharu dalam politik negara apabila Pakatan Harapan sebelum ini pernah menyerahkan kerusi Parlimen Muar kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia walaupun kerusi itu diperuntukkan kepada PKR atau Amanah.
Situasi sama turut berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Johor yang diperuntukkan kepada Amanah tetapi diwakili Muda.
Barisan Nasional (BN) juga pernah melaksanakan pendekatan serupa apabila beberapa kerusi milik parti terasnya diberikan kepada parti Friends of BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Antara kerusi terbabit ialah Parlimen Puchong, Nibong Tebal, Jelutong dan Bukit Bendera yang masing-masing ditandingi Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Makkal Sakti, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).



