
KUCHING – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita 11 buah kenderaan dalam Op Motosikal/HID/LED yang dijalankan di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub pada Isnin malam.
Operasi penguatkuasaan secara statik itu dilaksanakan oleh Unit Operasi JPJ Kuching dan diketuai oleh Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Sarawak, Fifi Suhesty Asmuni yang turut memantau perjalanan operasi di lapangan.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak, sebanyak 648 kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi tersebut berlangsung.
“Pelbagai kesalahan berjaya dikesan, antaranya termasuklah ketiadaan lesen memandu, penggunaan lampu HID atau LED yang tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu tamat tempoh serta kesalahan teknikal kenderaan.
“Daripada jumlah sitaan tersebut, ia melibatkan lima motosikal, sebuah jip mewah, sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga buah kereta dan sebuah kereta yang dipandu oleh warga asing,” jelas agensi itu.
Tambah kenyataan itu, tindakan sitaan diambil atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah serta pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem.
Tegas JPJ Sarawak, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras pelanggaran undang-undang jalan raya, sekali gus memastikan keselamatan para pengguna sentiasa terjamin.





