JOHOR BAHRU – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan serta pimpinan dari seluruh negara membuka tirainya hari ini dengan memberi tumpuan kepada persediaan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen berkenaan pada sebelah petang.
Bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat”, konvensyen sehari yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre itu bermula seawal jam 8.30 pagi menerusi Sesi Dialog Awam Sayap PH dan ucapan pengerusi PH negeri.
Kehadiran pimpinan utama gabungan berkenaan pula dijadual bermula pada jam 1.30 tengah hari menerusi Sesi Majlis Presiden.
Antara pemimpin yang dijangka menyampaikan ucapan ialah Setiausaha DAP, Anthony Loke, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Amanat Anwar yang dijadualkan pada jam 3.35 petang dijangka menyentuh hala tuju strategik gabungan itu, khususnya dalam menghadapi PRN Johor dan Melaka yang semakin hampir, selain memperkukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.
Selain siri ucapan politik, konvensyen kali ini turut menyaksikan acara simbolik Penyerahan Kit Jentera Pilihan Raya sebagai lambang kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi.
Tinjauan Bernama melaporkan di pekarangan Persada Johor International Convention Centre sejak pagi tadi juga dilihat meriah dengan kehadiran perwakilan yang mengenakan pakaian seragam parti masing-masing, sekali gus mencerminkan kesepaduan dalam kalangan parti komponen PH.


