PUTRAJAYA – Persepsi bahawa penggunaan Bahasa Inggeris lebih unggul dari Bahasa Melayu perlu diubah kerana ia secara tidak langsung menyumbang kepada peminggiran bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.
Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Bahasa Melayu tidak seharusnya terus dilihat sebagai bahasa kelas kedua dalam ekosistem pendidikan dan penggunaan harian, sebaliknya diangkat setaraf dengan Bahasa Inggeris dari segi nilai, fungsi dan prestij.
Menurut beliau, walaupun Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa perhubungan global, keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan Bahasa Melayu terus ketinggalan, apatah lagi dalam konteks negara yang menjadikannya bahasa rasmi.
“Penurunan prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sepatutnya tidak berlaku walaupun kecil, apatah lagi pada tahap membimbangkan. Antara puncanya ialah ketiadaan keseimbangan realistik antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sehingga menjejaskan prestasi bahasa negara dalam pelbagai bidang.
“Dalam hal ini, peranan Bahasa Melayu selaku bahasa negara dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, perlu jelas kepada pemerintah dan rakyat. Untuk ini, hubungannya haruslah saling melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain. Antaranya untuk meningkatkan piawai masing-masing dan bukan bagi singkir-menyingkir sesamanya.
“Inilah sebaik-baiknya strategi untuk mencari perimbangan setanding antara dua bahasa ini. Dalam hal ini, Bahasa Melayu adalah bahasa negara yang tercinta. Sementara itu, Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa terpenting di dunia pada masa ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, hubungan kedua-dua bahasa itu harus bersifat saling melengkapi dan bukan bersaing antara satu sama lain, khususnya dalam usaha meningkatkan piawaian masing-masing.
Beliau yang juga merupakan Felo Majlis Profesor Negara (MPN) berpandangan, pendekatan perimbangan setanding itu penting bagi memastikan Bahasa Melayu terus terpelihara di tanah air, selain memiliki kemampuan untuk berkembang di peringkat antarabangsa.
“Seperti mana kelompok manusia lain, etnik Melayu sebagai penutur jati Bahasa Melayu merupakan sebuah komuniti sejarah yang memiliki ikatan rapat dengan masa silamnya. Ini turut berlaku pada masyarakat Barat, mereka terbentuk daripada perjalanan sejarah panjang. Justeru, etnik Inggeris juga adalah komuniti sejarah, bukannya lahir secara terus sebagai komuniti moden.
“Bahasa dan budaya tidak dapat wujud secara bersendirian dan wajib bersama-sama. Seterusnya bahasa adalah cerminan budaya. Untuk ini, kosa kata dalam bentuk perkataan dan- ungkapan bersama-sama dengar idiom adalah buktinya,” katanya.
Beliau menegaskan, Bahasa Melayu bukan sisa yang tertinggal daripada zaman lampau, sebaliknya menjadi amalan hidup yang canggih, yakni sarat dengan keanekaan yang gah serta mampu berkembang seiring dengan keperluan semasa jika diberi penekanan sewajarnya.

“Ini kerana bukan sahaja kesemuanya merupakan pengalaman sejarah kita. Ia juga akal kolektif kita yang unik lagi istimewa sehingga sesetengahnya tiada padanan tepat dalam mana-mana bahasa dan budaya lain untuk terjemahannya yang jitu. Dengan berpegang teguh pada warisan, Bahasa Melayu akan terus mantap, baik di dalam dan di luar Malaysia.
“Modenisasi dan globalisasi yang melanda dapat ditangani bukan sahaja dengan baik, juga bijak. Dengan ini, bukan sahaja Bahasa Melayu terus keka utuh. malah budaya Melayu turut tetap teguh. Hal ini demikian kerana hubungan antara bahasa dan budaya bersifat amat erat,” katanya.
Sehubungan itu, Kok Seong mengingatkan bahawa pengaruh Bahasa Inggeris yang dominan perlu ditangani secara bijaksana agar tidak mewujudkan jurang yang semakin melebar antara kedua-dua bahasa.
“Dalam perimbangan setanding dengan Bahasa Inggeris, hendaklah dilakukan dengan penuh hemat. Ini kerana sudah banyak bahasa bersekali dengan budaya lesap akibat bahasa Inggeris yang dominan, berkuasa, berprestji dan glamor.
“Natijahnya, Bahasa Inggeris bukan lagi dianggap bahasa neutral dan wajar diwaspadai. Oleh itu, kita bukan sahaja perlu berhati-hati, malah bijak agar tidak terperangkap dalam perimbangan yang tidak setara dengan Bahasa Inggeris.
“Kita juga tidak boleh sesekalí membenarkan, apatah lagi membantu memperkukuh hegemoni bahasa tersebut. Dalam masa yang sama, kita harus peka terhadap pendekatan licik yang digunakan di pelbagai tempat di dunia, khususnya di luar negara asal Bahasa Inggeris,” katanya.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM itu menjelaskan, pendekatan seperti pengajaran bahasa Inggeris secara eksklusif serta penggunaannya secara meluas dalam semua bidang perlu dinilai semula agar tidak menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu.
Kok Seong menegaskan usaha mengangkat Bahasa Melayu ke tahap setara bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik bagi memastikan bahasa kebangsaan terus relevan dan dihormati di peringkat nasional serta global.
“Ia sebenarnya merupakan langkah ke arah penggantian bahasa, iaitu meletakkan Bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa dominan. Begitu juga usaha memperkenalkan Bahasa Inggeris seawal mungkin yang perlu diteliti kerana berpotensi menggantikan bahasa ibunda.
“Selain itu, penggunaan Bahasa Inggeris dalam semua bidang pendidikan serta pelantikan penutur jati sebagai satu-satunya tenaga pengajar turut mencerminkan usaha memperkukuh ideologi ekabahasa.
“Malah, penekanan terhadap pengajaran Bahasa Inggeris secara meluas bagi menjamin kecemerlangan juga dilihat sebagai sebahagian daripada pengukuhan dominasi bahasa tersebut melalui proses asimilasi dan akulturasi. Justeru, semua pendekatan ini cenderung memupuk mentaliti ekabahasa yang menggantikan bahasa lain dengan Bahasa Inggeris,” katanya.
Terdahulu, tokoh bahasa dan persuratan negara, Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan menggesa agar peranan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dihidupkan semula sebagai platform strategik memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di persada antarabangsa.






