
LIMBANG – Semangat gotong-royong dan muafakat terus utuh dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Mendalam apabila mereka berganding bahu membersihkan Klinik Kesihatan Kuala Mendalam yang terjejas teruk akibat ribut dan hujan lebat, baru-baru ini.
Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh berkata, masyarakat setempat tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira penat lelah untuk membersihkan kawasan sekitar serta mengalihkan peralatan klinik.
Menurutnya, operasi perkhidmatan kesihatan juga terpaksa dipindahkan sementara waktu ke blok lama bagi memastikan urusan rawatan kepada pesakit tidak terjejas.
“Kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung ini amat dihargai dan ia menjadi contoh terbaik semangat muafakat ketika menghadapi saat mencabar.
“Tindakan pantas serta komitmen tinggi kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang juga memainkan peranan penting supaya operasi perkhidmatan dapat diteruskan dengan selamat dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Norliza menyifatkan sokongan masyarakat dalam situasi sukar tersebut amat bermakna bagi memastikan kelancaran perkhidmatan terus berjalan tanpa sebarang gangguan.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang pantas menyalurkan bantuan dan sokongan sepanjang insiden berkenaan.
“Keprihatinan dan kerjasama semua pihak membuktikan bahawa kekuatan komuniti adalah tunjang utama dalam memastikan kesejahteraan bersama terus terpelihara.
“Kita berharap agar semangat gotong-royong seperti ini terus diperkukuhkan demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya,” ujar beliau.





