
KOTA KINABALU – Warga Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) diseru terus memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, peluang untuk berkhidmat dalam sektor awam adalah satu keistimewaan kerana saban tahun puluhan ribu graduan memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam, namun hanya sebilangan kecil yang terpilih.
“Anda di sini berada dalam perkhidmatan kerajaan seharusnya menghargai peluang tersebut dengan melaksanakan tugas sebaik mungkin.
“Harapan saya juga agar semua warga MINDET dari Setiausaha Tetap (SUT), timbalan-timbalan SUT, ketua agensi, warga kementerian dan agensi kita buat yang terbaik selagi kita berada di sini.
“Banyak yang mahu mencari peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam atau agensi, puluhan ribu setiap tahun graduan tapi yang terpilih itu kitalah yang berada pada tempat kita pada hari ini.
“Jadi mari kita beri keadilan kepada mereka yang masih menunggu peluang memberi perkhidmatan sebab itu selagi kita ada ruang itu di kementerian ini, agensi-agensi kementerian, kita buatlah yang terbaik,” katanya ketika berucap sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri MINDET 2026 di Dataran Kementerian Kewangan Sabah, di sini pada Khamis.

Ewon turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh seluruh warga kementerian sepanjang hampir lima bulan beliau menerajui kementerian berkenaan.
“Walaupun tidak berpeluang bertemu setiap hari, saya tetap melihat komitmen dan kerjasama yang baik daripada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh seluruh warga jabatan adalah penting bagi menjadikan Sabah lebih baik untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri bekas menteri yang menerajui kementerian berkenaan sebelum ini, Datuk Phoong Jin Zhe.
Dalam ucapanya, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Phoong atas segala sumbangan dan kepimpinan yang diberikan sepanjang menerajui kementerian tersebut sebelum ini.
“Pelbagai inisiatif, pencapaian serta penambahbaikan yang dilaksanakan dan telah memberi inspirasi serta motivasi kepada ramai pihak.
“Jadi mana-mana perkara yang baik, itu kita teruskan dan sudah tentu saya berada di sini untuk meneruskan kebaikan tersebut dan pencapaian yang telah dibuat selama ini harus menjadi motivasi kepada saya untuk turut sama membuat yang terbaik,” tambahnya.





