
KANGAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyarankan Kerajaan Negeri Perlis memperluas kawasan penanaman mangga Harumanis seiring dengan pemanfaatan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pengusaha.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, potensi ekonomi komoditi premium itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu khusus untuk tanaman Harumanis.
Pada masa sama, industri berkenaan perlu beralih daripada pendekatan pengeluaran secara konvensional kepada sistem pengurusan tanaman yang lebih moden, sistematik serta berasaskan teknologi dan AI, katanya.
“Pengurusan ladang perlu diperkukuh melalui amalan agronomi yang baik serta penyelesaian isu ketidakseragaman pengeluaran, keguguran bunga dan putik buah bagi meningkatkan produktiviti, pendapatan pengusaha serta kualiti mangga Harumanis mengikut standard pasaran.
“Penerokaan teknologi digital dan pertanian pintar turut diberi penekanan bagi meningkatkan ketepatan dan kecekapan pengurusan ladang,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Persidangan Mangga Harumanis 2026 di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Menurut Luqman, usaha penyelidikan dan inovasi akan terus diperkasa menerusi kerjasama KPKM bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agensi Nuklear Malaysia serta institusi berkaitan bagi menghasilkan teknologi yang memenuhi keperluan industri.
Beliau turut menyeru pengusaha Harumanis supaya bersedia menerima perubahan, meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan ladang serta menjadikan data dan rekod tanaman sebagai asas dalam membuat keputusan.
Katanya, pembangunan industri Harumanis tidak seharusnya tertumpu kepada pengeluaran buah semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai ekonomi termasuk penyelidikan, pemprosesan, pembungkusan, pemasaran dan penerokaan pasaran antarabangsa.
KPKM menerusi Jabatan Pertanian dan agensi di bawahnya akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh industri berkenaan melalui pemindahan teknologi, latihan, penyelidikan, pemasaran serta sokongan pembangunan kepada pengusaha.
Luqman turut menyarankan agar pembangunan Pusat Kecemerlangan Mangga Harumanis diberikan perhatian sebagai pusat rujukan, pemindahan teknologi, promosi dan pengembangan industri.
“Saya berharap Negeri Perlis akan terus menjadi peneraju dan pusat kecemerlangan pembangunan mangga Harumanis, bukan sahaja dalam aspek pengeluaran, malah merangkumi penyelidikan, inovasi, teknologi, pemasaran dan pembangunan kepakaran, dengan memanfaatkan kemudahan serta aset sedia ada secara optimum,” katanya.


