
KUALA LUMPUR – Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan awal tahun depan, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama ekonomi rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, persiapan pelaksanaan pelan induk itu kini memasuki fasa penyelarasan akhir antara Malaysia dengan Singapura.
Katanya, penyelarasan berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ dapat berjalan lancar dan teratur, selain menjadi antara agenda utama yang akan dibincangkan pada Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura (ALR) minggu depan.
“Pelancaran pelan induk itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, merancakkan aktiviti pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, JS-SEZ adalah inisiatif kerjasama ekonomi rentas sempadan yang memanfaatkan kekuatan ekonomi Malaysia dan Singapura, khususnya kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan republik itu.
Menerusi kerjasama berkenaan, Johor berpotensi menjadi destinasi pelaburan yang menawarkan akses kepada pasaran, tenaga kerja serta rangkaian perniagaan serantau, manakala Singapura menyediakan hubungan kepada rangkaian kewangan, teknologi dan pasaran antarabangsa.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hubungan ekonomi rentas sempadan, memudahkan urusan perniagaan serta memperkukuh daya saing rantau Johor-Singapura sebagai destinasi pelaburan.
Pelaksanaan JS-SEZ dijangka merancakkan pengembangan aktiviti ekonomi dalam sektor berpotensi, selain menyokong pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
JS-SEZ dimeterai menerusi perjanjian Malaysia-Singapura yang ditukar pada 7 Januari 2025, susulan memorandum persefahaman (MoU) pada 11 Januari 2024.
Zon ekonomi khas itu meliputi kawasan seluas kira-kira 3,588 kilometer persegi, merangkumi sembilan zon tumpuan dan 11 sektor ekonomi.



