
TEMERLOH – Ancaman ikan baung ekor merah yang semakin membiak di sungai utama Pahang mendorong kerajaan negeri mempergiat usaha membendung spesies asing itu daripada terus menjejaskan populasi ikan tempatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi menjayakan program memburu ikan berkenaan yang dilaksanakan serentak di tujuh lokasi seluruh negeri.
“Ikan ini sangat ganas kerana memakan ikan lain dan jika dibiarkan, ia boleh menjadi spesies dominan sehingga menyebabkan ikan tempatan terhapus,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari, Kuala Krau, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, baung ekor merah adalah spesies invasif asing yang bukan berasal dari perairan tempatan dan mampu membiak dengan cepat.
Katanya, spesies berkenaan memangsa anak ikan tempatan termasuk kerai, lampam dan udang galah, sekali gus mengancam ekosistem sungai.
“Terdapat dua spesies baung ekor merah yang direkodkan dibawa masuk ke negara ini, masing-masing dari Sungai Mekong dan Sungai Amazon.
“Ikan dari Sungai Amazon dilaporkan mampu mencapai berat sehingga 100 kilogram, manakala spesies dari Mekong pernah direkodkan mencapai berat 28 kilogram,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Perikanan menerima maklumat mengenai pengurangan hasil udang galah tempatan di beberapa kawasan sungai yang dikaitkan dengan perkembangan populasi baung ekor merah.
Nelayan darat di Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai dan Sungai Tembeling digalakkan menyertai usaha menangkap spesies berkenaan bagi mengurangkan populasinya.
Adnan berkata, sejak 2022 hingga Oktober lalu, sebanyak 10 siri program mitigasi, inventori dan pertandingan memburu ikan asing dilaksanakan di beberapa daerah di Pahang.
Menerusi program itu, lebih 1.2 tan ikan baung ekor merah berjaya dikeluarkan dari perairan umum, selain spesies asing lain termasuk peacock bass, ikan bandaraya dan tilapia hitam.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan ikan asing ke perairan umum kerana perbuatan itu boleh mengancam habitat dan populasi ikan tempatan.
Pemilikan, penyimpanan dan pemeliharaan ikan baung ekor merah juga tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perikanan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.



