
PAPAR – Kerajaan memperkukuh penggunaan radio amatur sebagai benteng komunikasi alternatif dalam menghadapi bencana, bagi memastikan hubungan antara agensi penyelamat dan kawasan terjejas kekal berfungsi meskipun infrastruktur telekomunikasi konvensional terputus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keupayaan komunikasi merupakan aspek paling kritikal dalam pengurusan bencana, khususnya ketika berlaku gangguan bekalan elektrik, kerosakan infrastruktur telekomunikasi dan terputusnya capaian internet.
“Kegagalan sistem komunikasi konvensional boleh menjejaskan penyelarasan antara agensi Kerajaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah serta kawasan yang terputus.
“Apabila internet terjejas, rangkaian telefon talian tetap dan mudah alih terganggu disebabkan gangguan bekalan elektrik atau kerosakan infrastruktur pencawang.
“Salah satu alternatif kepada telekomunikasi konvensional ialah penggunaan radio amatur sebagai medium komunikasi sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Komunikasi di sini, pada Sabtu.

Armizan berkata, kepentingan penggunaan radio amatur sebagai Komunikasi alternatif bukan perkara baharu, malah terbukti relevan ketika beberapa insiden bencana sebelum ini termasuk kehadiran banjir besar di Papar pada September 2025.
“Apabila berlaku sesuatu bencana yang memerlukan komunikasi alternatif, khidmat radio amatur ini boleh diaktifkan dengan segera bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
“Ini termasuk penyampaian bekalan makanan kepada mangsa, mengenal pasti keperluan penduduk di kawasan terjejas serta memastikan aspek keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya kemudahan infrastruktur radio amatur sedia ada di Sabah turut menjadi asset penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Katanya, Papar sendiri mempunyai kemudahan stesen pengulang yang membolehkan rangkaian telekomunikasi alternatif radio amatur diaktifkan bagi menyokong operasi ketika berlaku gangguan telekomunikasi.
“Sabah mempunyai sebanyak 1,313 stesen radio amatur aktif dan 18 stesen pengulang bagi menyokong keperluan komunikasi berkenaan.
“Sebanyak 10 kelab radio amatur menyertai program hari ini termasuk Papar Amatur Radio Club (PARC) yang turut memainkan peranan memperkukuh jaringan komunikasi alternatif di daerah ini,” jelasnya.
Tambahnya, kerjasama antara Kerajaan, MCMC dan komuniti radio amatur perlu terus diperkukuh bagi memastikan keupayaan komunikasi alternatif dapat dimanfaatkan secara optimum ketika kecemasan, manakala sebarang pertanyaan mengenal peruntukan kepada kelab-kelab radio amatur disarankan dirujuk kepada MCMC dan Kementerian Komunikasi.


