Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Harga petrol RON97 turun 20 sen seliter manakala RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November 2026.
Susulan penurunan itu, RON97 kini RM4 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter, manakala diesel tanpa subsidi RM4.72 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga berkenaan ditetapkan berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menunjukkan penurunan dalam tempoh pengiraan APM, seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, MOF berkata ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global, menyebabkan harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, harga petrol dan diesel bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 di bawah BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel BUDI Diesel (RM2.10), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi pada RM2.05 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi pada RM2.15 seliter.
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

