
KUALA LUMPUR – Ujian Sistem Amaran Awal Nasional yang didakwa akan dilaksanakan membabitkan orang awam di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang hari ini tidak akan dilakukan seperti yang tular.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, maklumat yang tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai pelaksanaan ujian amaran awam di empat negeri berkenaan adalah tidak benar.
Menurut MCMC, aktiviti yang dijadualkan pada 19 November 2026 itu sebenarnya merupakan ujian teknikal dalaman bagi menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem sebelum pelaksanaan lebih meluas.
“Ujian yang dijadualkan pada hari ini (19 November 2026) adalah ujian teknikal dalaman bagi menilai kesiapsiagaan dan keberkesanan sistem sebelum pelaksanaan yang lebih meluas dan bukannya ujian amaran kepada orang awam di negeri seperti yang didakwa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta merujuk saluran rasmi MCMC bagi mendapatkan perkembangan dan pengumuman terkini. Semak dahulu sebelum berkongsi,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp dakwaan mengenai pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional yang akan melibatkan orang awam di empat negeri berkenaan hari ini.


