
KANGAR – Ketua Polis Perlis merancang untuk turun sendiri ke sekolah menengah di negeri ini mulai tahun depan sebagai langkah memperkukuh usaha pencegahan buli dan jenayah seksual dalam kalangan pelajar.
Pendekatan itu termasuk mengadakan lawatan pada hari pertama sesi persekolahan bagi membina hubungan lebih rapat antara pihak polis dengan warga sekolah, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan pelajar.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, kehadiran pihak polis di sekolah bukan sekadar untuk memberi penerangan, sebaliknya memastikan pelajar merasakan mereka sentiasa mendapat perhatian dan perlindungan daripada pihak berkuasa.
“Insya-Allah, mungkin apabila sekolah dibuka tahun depan, saya akan meluangkan masa untuk turun sendiri ke sekolah.
“Mungkin untuk tahun depan saya cadang untuk sekolah menengah, pada hari pertama persekolahan supaya pelajar merasakan kita rapat dengan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kesedaran pencegahan buli dan gangguan seksual yang melibatkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa serta wakil agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun tiada laporan kejadian buli di sekolah diterima sepanjang dua bulan beliau menerajui kontinjen Perlis, langkah pencegahan tetap perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Walaupun tidak ada kes berlaku sepanjang dua bulan saya di sini, kita tetap mengambil langkah pencegahan kerana kita tengok di negeri-negeri lain ada berlaku.
“Lebih baik kita membuat pencegahan daripada menunggu sesuatu kejadian berlaku,” katanya.
Berdasarkan statistik rasmi polis, sebanyak 12 kes buli direkodkan di Perlis bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding lima kes sepanjang 2025.
Bagi jenayah seksual pula, sebanyak 81 kes direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 83 kes sepanjang tahun lalu, melibatkan pelbagai kesalahan termasuk rogol dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Hamzah berkata, pihaknya turut memanfaatkan peranan pegawai perhubungan sekolah sebagai saluran komunikasi dengan pelajar dan pentadbiran sekolah, selain merancang penambahbaikan terhadap pendekatan sedia ada.
Katanya, usaha itu juga merupakan susulan perbincangan di peringkat pusat melibatkan Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan ketua polis negeri bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta bebas daripada ancaman buli dan gangguan seksual.


