
EVELINE B. & NANA MOHAMAD
SIBU – Kemuyang dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai bandar satelit baharu Sibu menerusi perancangan pembangunan bersepadu yang merangkumi jaringan jalan raya, kawasan perumahan dan kemudahan awam bagi menampung pertumbuhan penduduk pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas kawasan bandar Sibu secara lebih tersusun, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan penempatan baharu.
Menurutnya, konsep bandar satelit yang dilaksanakan di Sibu Jaya menjadi antara contoh pembangunan kawasan pinggir bandar yang boleh dijadikan asas kepada perancangan Kemuyang.
“Hari ini, kita merancang pembangunan sebuah lagi bandar satelit di Sibu, iaitu Kemuyang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, pada Jumaat.
Abang Johari berkata, pembangunan Kemuyang turut melibatkan perancangan jaringan jalan raya baharu, termasuk laluan berkembar yang akan meningkatkan kesalinghubungan kawasan berkenaan dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Katanya, penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih baik penting bagi memudahkan pergerakan penduduk serta menghubungkan kawasan pembangunan baharu dengan penempatan sedia ada.
Menurutnya, perancangan tersebut juga dijangka memperluas akses ke Kampung Nangka, Kampung Nyabor dan kawasan sekitarnya, selain memudahkan perjalanan ke pusat bandar Sibu.
Beliau turut menjangkakan pembangunan jaringan jalan raya berkenaan berpotensi memendekkan masa perjalanan ke Kampung Nangka kepada kurang 20 minit.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan kawasan perumahan baharu perlu dilaksanakan seiring dengan penyediaan kemudahan sosial dan keagamaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Menurutnya, pembinaan Masjid Al-Hidayah Kemuyang merupakan antara langkah menyediakan kemudahan ibadah serta ruang aktiviti kemasyarakatan bagi penduduk di kawasan berkenaan.
“Di Kemuyang, kita membangunkan masjid terlebih dahulu dan kemudian kawasan perumahan di sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan mengambil inspirasi daripada sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah yang turut memberikan penekanan kepada pembinaan masjid sebagai pusat kehidupan masyarakat.
Pada masa sama, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Islam Kemuyang yang kini mempunyai sebuah masjid baharu untuk menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Katanya, Kerajaan Sarawak sebelum ini turut melaksanakan kerja menaik taraf Masjid An-Nur di pusat bandar Sibu serta memperbesar Masjid Sibu Jaya bagi memenuhi keperluan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh perancangan pembangunan semula Kampung Datu yang akan dihubungkan dengan kawasan Kemuyang menerusi jaringan perhubungan baharu.
Pembangunan bandar satelit Kemuyang dijangka dapat melengkapi pertumbuhan Sibu Jaya, selain menyediakan ruang pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kegiatan ekonomi bagi memenuhi keperluan penduduk pada masa hadapan.


