
DEBAK – Kecemerlangan seseorang pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak mulia, keikhlasan hati serta pengamalan ilmu dalam kehidupan seharian.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, kejayaan sebenar seseorang pelajar turut dinilai melalui keperibadian, jati diri serta kesungguhan berterusan dalam menuntut ilmu.
Menurutnya, ilmu yang diperoleh perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melahirkan generasi berpengetahuan, berdisiplin dan mempunyai nilai murni dalam kehidupan.
“Ilmu yang bermanfaat bukan sekadar dipelajari, tetapi perlu diamalkan dan diterapkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk insan yang berakhlak serta mempunyai jati diri yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak di Dewan Perpaduan pada Khamis.

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 81 pelajar KAFA diraikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta usaha mereka dalam bidang pendidikan agama dan akademik.
Pada majlis sama, Habib Muhammad Mazuan menerima Anugerah Mithali, manakala Nur Humaira Hawadah Hassan dianugerahkan Anugerah Mithaliah.
Kedua-dua anugerah berkenaan disampaikan oleh Mohammad Razi sebagai penghargaan terhadap pencapaian penerima.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sekadar bertujuan meraikan kejayaan pelajar, malah menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang.
“Pengiktirafan ini diharap menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh jati diri dan mendekatkan diri dengan ajaran Islam,” katanya.
Mohammad Razi turut menekankan bahawa kejayaan seseorang pelajar bukan hanya bergantung kepada usaha individu, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada guru dan ibu bapa.
Menurutnya, peranan pendidik serta keluarga amat penting dalam memastikan pelajar mendapat bimbingan yang sewajarnya, khususnya dalam aspek pembentukan sahsiah dan penghayatan nilai agama.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih pelajar, dedikasi guru-guru serta sokongan, doa dan kasih sayang ibu bapa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak menjadikan kejayaan yang diraih sebagai titik noktah dalam proses pembelajaran, sebaliknya terus berusaha menambah ilmu dan memperbaiki diri.
“Jadikan kejayaan ini sebagai dorongan untuk terus maju, bukan sahaja demi kehidupan di dunia, malah sebagai bekalan untuk akhirat,” katanya.
Beliau turut berharap pelajar KAFA dapat meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran di samping membentuk keperibadian terpuji agar menjadi insan yang mampu memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan agama.
Pada masa sama, Mohammad Razi merakamkan penghargaan kepada guru, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan.


