
Eveline B. & Nana Mohamad
SIBU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkemungkinan besar diberi peluang mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan itu ketika ditanya mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, senarai rasmi calon GPS hanya akan diumumkan pada 25 November ini.
“Ya, kita belum sahkan lagi. Saya akan sahkan pada 25 November kelak. Untuk Nangka, kemungkinan kita akan letakkan Datuk Dr Annuar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kemuyang, Masjid Al-Hidayah, pada Jumaat.
Mengulas mengenai pemilihan calon, Abang Johari berkata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus memberi perhatian kepada usaha melahirkan barisan kepimpinan pelapis, termasuk menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan potensi mereka.
Menurut beliau, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pembangunan kepimpinan parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pentadbiran negeri pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas) atas keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan satu perkembangan positif yang diharap dapat membantu mengekalkan kestabilan dan keharmonian politik di Sarawak.



