KUANTAN – Sebanyak RM100.9 juta diperuntukkan tahun hadapan bagi memperkukuh sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sektor itu antara tunjang ekonomi, khususnya dalam menjana pendapatan rakyat dan menjamin keterjaminan bekalan makanan negeri.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, RM3 juta disediakan bagi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2027, manakala RM200,000 bagi Karnival Nelayan Darat 2027.
“Kerajaan negeri turut menyediakan RM3.9 juta bagi membantu golongan tani dan nelayan di negeri ini,” katanya.
Peruntukan itu merangkumi Bantuan Makanan Ikan Nelayan Pahang 1st (RM1 juta), Bantuan Baja Petani Pahang 1st (RM1 juta), Program Petani Muda Pahang 1st (RM1 juta), sumbangan input benih ikan kepada pengusaha akuakultur (RM400,000) dan pembangunan Pusat Benih Golden Melon Pahang di Benta, Lipis (RM500,000).
Bagi menyokong pembangunan dan pemodenan sektor itu, RM15.6 juta disediakan untuk pelbagai program dan projek di bawah Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang.
Pada masa sama, RM60.7 juta diperuntukkan bagi pengurusan bagi memperkukuh kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan agensi berkenaan.
“Dalam usaha memperkukuh sektor perikanan dan meningkatkan pendapatan nelayan kecil, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang menyediakan RM10 juta untuk membangunkan kemudahan penyimpanan sejuk,” katanya.
Sementara itu, RM5 juta diluluskan khusus untuk mengembangkan industri baka kerbau tenusu bagi meningkatkan populasi baka tenusu berproduktiviti tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada produk tenusu import.
“Selain itu, bantuan RM1.5 juta turut disediakan bagi membantu meringankan beban golongan petani dan RM975,000 kepada nelayan laut serta nelayan darat, dengan setiap penerima akan menerima sumbangan sekali bayar sebanyak RM300 seorang,” katanya.



