
MUKAH – Kampung Penat di Oya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dua Sungai menerima peruntukan keseluruhan RM600,000 bagi menaik taraf kemudahan awam serta prasarana pendidikan menerusi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dewan dan tandas awam, pembinaan gelanggang sepak takraw serta penyelenggaraan padang bola sepak di Kampung Penat.
Menurutnya, baki RM100,000 pula disalurkan kepada SK Dua Sungai bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran dan keselesaan warga sekolah.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan merangkumi kerja menaik taraf bilik rawatan, ruang memberus gigi dan mencuci tangan, selain penyediaan televisyen pintar di makmal sains serta penambahbaikan ruang makan murid dan bilik guru.
“Kedua-dua usaha ini diselia oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab. Keseluruhan peruntukan yang diberikan untuk kedua-dua program ini adalah RM600,000 dan usaha menambah baik prasarana akan diteruskan secara berperingkat.
“Program Santuni MADANI yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri ini bertujuan merapatkan hubungan pemimpin dengan penduduk supaya keperluan sebenar masyarakat dapat difahami dan dibantu dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Santuni MADANI Parlimen P.213 Mukah 2026 di Dewan Kampung Penat, Oya, di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Hanifah berkata, pembangunan prasarana komuniti perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang memberikan penekanan kepada amalan hidup sihat serta pencegahan penyakit.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat mengamalkan pemakanan seimbang dengan mengurangkan pengambilan gula, garam dan makanan berlemak bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi serta masalah kolesterol.
Hanifah turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, khususnya memastikan tiada bekas atau kawasan yang menakung air sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan pengurusan sampah yang bertanggungjawab bagi mengelakkan pencemaran sungai, laut dan sistem perparitan yang boleh menjejaskan kesihatan serta sumber makanan penduduk.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk acara Fun Walk, gotong-royong mengutip sampah, saringan kesihatan percuma serta pameran daripada agensi kerajaan.
Penganjuran program itu turut memberikan ruang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat kesihatan, memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan serta berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan.


