YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di Shenzhen, China. 19 November 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the accompanying caption. Any further reuse may requir
SHENZHEN – Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk juruterbang, disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar, dedah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan perkara itu amat membimbangkan kerana membabitkan anggota pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan negara, sekali gus menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah tanpa mengira pangkat.
Bercakap pada sidang media penutup di sini, Anwar berkata, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan sewajarnya diambil.
“Saya menyatakan perkara ini pada sidang media ini kerana tidak mahu mana-mana pihak beranggapan bahawa kita sengaja melengah-lengahkan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, antara individu yang terbabit termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten, selain juruterbang.
“Bagaimana kita boleh mengharapkan negara ini selamat jika kita membiarkan perkara ini berlaku?
“Ini membabitkan pasukan keselamatan. Ibarat ‘harapkan pagar, pagar makan padi’,” katanya merujuk peribahasa Melayu mengenai pihak yang diamanahkan menjaga keselamatan tetapi mengkhianati kepercayaan itu.
Anwar berkata, beliau sudah membincangkan perkara berkenaan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, semua pihak bersetuju bahawa tiada sebarang kompromi dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.
“Ini bukan soal menjaga imej mana-mana jabatan,” katanya sambil menegaskan pihak polis perlu diberi ruang untuk melengkapkan siasatan.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap kumpulan terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah dan penyalahgunaan sistem kewangan.
Katanya, lebih 100 individu ditahan mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala aset bernilai berbilion ringgit disita atau dibekukan.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan keseriusan kerajaan dalam membanteras penyeludupan dadah serta kegiatan jenayah berkaitan.
“Negara tidak boleh membiarkan salah laku seperti ini berterusan, sama ada ia membabitkan golongan di peringkat tertinggi, penjawat awam mahupun anggota penguat kuasa,” katanya.

