
KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat koperal maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulau Melaka di sini pada Rabu.
Mangsa, Muhamad Alimi Kamarudin, 35, yang bertugas di Cawangan Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Panji menghala ke Kota Jembal.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan yang basah sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Motosikal mangsa kemudian bergesel dengan bahagian hadapan sisi kanan sebuah SUV jenis Proton X70 yang dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohd Azmir, pemandu dan penumpang SUV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Bharu menerusi talian 09-775 2315.



