YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di Shenzhen, China. 19 November 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the accompanying caption. Any further reuse may requir
SHENZHEN – Malaysia terus mempertahankan pendirian berkecuali dalam hubungan antarabangsa, selain memperkukuh kerjasama ekonomi dengan kuasa besar dunia menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu penting ketika dunia berdepan perpecahan geopolitik semakin ketara, sekali gus menuntut Malaysia mengimbangi hubungan dengan negara rakan dagang tanpa menggadaikan kepentingan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, lawatan ke Shenzhen itu amat produktif apabila Malaysia berpeluang mengadakan beberapa pertemuan dua hala dan tidak rasmi dengan pemimpin dunia, termasuk Presiden China, Xi Jinping; Presiden Russia, Vladimir Putin; dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Kehadiran saya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution serta Ketua Setiausaha (KSU), adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen.
“Kami turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Xi. Walaupun sudah bertemu awal tahun ini, pertemuan itu membuktikan hubungan baik dan persahabatan Malaysia-China semakin kukuh,” katanya pada sidang media penutup di sini, hari ini.
Anwar berkata, pertemuan ringkas dengan Putin turut menyentuh persetujuan awal dalam bidang perdagangan, perolehan tenaga dan keselamatan, termasuk eksport diesel, minyak dan gas.
Katanya, pertemuan dengan Trump pula adalah susulan perbincangan terdahulu di Manila bagi memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan AS terus terpelihara.
“Kita juga bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai susulan pertemuan terdahulu di Manila.
“Wujud keperluan mengekalkan hubungan bagi memastikan perdagangan dan pelaburan Amerika (Syarikat) di Malaysia serta hubungan perdagangan keseluruhan dengan AS tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata, hubungan baik Malaysia dengan China tidak seharusnya dilihat menjejaskan kepentingan negara dalam menjalin kerjasama dengan AS kerana Malaysia kekal sebagai negara berdaulat dan bebas menentukan pendiriannya.
Anwar berkata, China kekal sebagai antara tonggak utama strategi ekonomi Malaysia, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM541.15 bilion pada 2025.
Selaras perkembangan itu, Malaysia turut memperoleh potensi pelaburan bernilai RM9.2 bilion daripada syarikat utama dalam sektor teknologi dan pembuatan di rantau ini.
Antara syarikat yang mengembangkan operasi di hab perindustrian sekitar Taman Teknologi Tinggi Kulim, Selangor dan Pahang ialah Fastprint Circuit Tech, Fast Train Technology, Mindray Biomedical dan New Energy Materials.
Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memudah cara pelaburan berkenaan menerusi pengurangan kerenah birokrasi, selain memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan diintegrasikan dalam rantaian bekalan serta dilindungi daripada pengambilalihan asing yang bersifat menindas.
Dalam pada itu, beliau berkata, ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, mengatasi unjuran.
“Dari segi sejarah, kita lazimnya mencapai unjuran yang ditetapkan, namun jarang sekali dapat mengatasinya dengan begitu memberangsangkan,” katanya.
Beliau berkata, prestasi itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif ekonomi dan dasar luar negara dalam memastikan Malaysia terus berdaya saing di tengah-tengah ketidaktentuan global.

