
SHENZHEN – Dokumen perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak boleh dinyahklasifikasikan sekiranya dicabar dan dibawa ke mahkamah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar tidak mengesahkan sama ada dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan, sebaliknya berkata kerajaan akan memberikan perkembangan terkini mengenai statusnya dalam masa terdekat.
“Dokumen perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Bagaimanapun, sebagai prinsip umum, sekiranya perintah itu dicabar dan dibawa ke mahkamah, dokumen itu akan dinyahklasifikasikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Free Malaysia Today (FMT) sebelum ini melaporkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib telah dinyahklasifikasikan bagi membolehkan dokumen itu dimasukkan sebagai sebahagian daripada afidavit mahkamah.
Menurut laporan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu memfailkan afidavit berkenaan susulan cabaran undang-undang dikemukakan Majlis Peguam terhadap keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Usaha mendapatkan ulasan AGC berhubung perkara itu sedang dijalankan.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan menjelaskan sama ada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, sudah dinyahklasifikasikan secara rasmi.
Mereka berpandangan prosiding dan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rasmi kerajaan yang diklasifikasikan sebagai sulit serta dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.
Isu itu timbul selepas beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkenaan dikongsi Tony Pua menerusi media sosial pada 18 November lalu.
Dokumen berkenaan antara lain merekodkan pendirian Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang membantah cadangan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan proses penyahklasifikasian dokumen berkenaan masih dalam penelitian dan semakan mengikut lunas undang-undang.
