
MANILA – Krisis politik Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan menjadi antara isu utama yang bakal dibincangkan pemimpin serantau sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula di sini, hari ini.
Perbincangan itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara negara anggota ASEAN, khususnya dalam menangani cabaran keselamatan, kestabilan politik dan kepentingan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia pada majlis pembukaan sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketibaan pasangan itu disambut Presiden Filipina merangkap Pengerusi ASEAN, Ferdinand R Marcos Jr, sebelum mereka dibawa menaiki kenderaan elektrik keluaran tempatan ke dewan utama.
Majlis pembukaan turut menyaksikan pelancaran logo dan bendera ASEAN yang dikemas kini serta penyampaian Anugerah ASEAN.
Selesai majlis berkenaan, para pemimpin meneruskan agenda menerusi sesi pleno dan permukiman yang antara lain menilai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menangani krisis di Myanmar.
Selain itu, cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN dan perkembangan rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan turut menjadi perhatian.
Isu jerebu rentas sempadan serta konflik berterusan di Asia Barat juga dijangka disentuh dalam perbincangan pemimpin serantau itu.
Dalam rangka sidang kemuncak berkenaan, Anwar turut dijadual menghadiri pertemuan bersama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan wakil belia serantau.
Beliau juga dijadual menerima kunjungan hormat Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda, hari ini.


