
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Perancis menyaksikan pertukaran tujuh dokumen kerjasama meliputi peralihan tenaga, mineral kritikal, industri pertahanan serta keselamatan susulan lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran dokumen itu disaksikan beliau bersama Macron selepas selesai mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.
“Antara dokumen yang dimeterai ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Peralihan Tenaga dan Mineral Kritikal serta Pelan Hala Tuju Bilateral Keupayaan Pertahanan dan Kerjasama Industri Pertahanan.
“Selain itu, MoU turut melibatkan kerjasama berkenaan ialah Perjanjian Keselamatan bagi Dokumen Sulit Kerjasama Pertahanan, Surat Niat (LoI) Pembangunan Pusat Serantau bagi Menangani Ancaman Hibrid serta LoI Perolehan Helikopter Tempur dan Penyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Fasa Satu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Anwar, kedua-dua negara turut menyaksikan pertukaran MoU Kerjasama Strategik Pembangunan dan Pelaksanaan Projek SALAM.
“Dalam sidang media bersama, saya menyentuh usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, perdagangan dan pelaburan. Kerjasama Petronas dan TotalEnergies sudah merangkumi projek berskala besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.
“Dalam soal mineral kritikal, saya mengalu-alukan komitmen Perancis untuk bekerjasama dalam pemprosesan. Kerjasama ini mesti disertai pemindahan teknologi dan latihan supaya kita dapat membina kepakaran di Malaysia.
“Saya turut mengajak Perancis menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk cadangan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura,” katanya.
Dalam bidang tenaga pula, beliau mengajak Perancis menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk cadangan pembinaan kabel dasar laut yang menghubungkan Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh kepentingan memperkukuh hubungan kebudayaan dan pertukaran ilmu antara kedua-dua negara dengan mengambil contoh penghormatan masyarakat Perancis terhadap tokoh sastera mereka, Victor Hugo.
“Saya berharap kita dapat mempererat kerjasama pertukaran ilmu dan budaya antara kedua-dua negara.
“ menghargai ketegasan Perancis dalam menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Mengenai Ukraine, saya nyatakan pendirian tegas Malaysia menolak pencerobohan Rusia dan terus berdialog dengan kepimpinan negara itu.
“Terima kasih Presiden Macron atas kunjungan ini. Saya amat menghargai kesediaan saudara mendengar pandangan Malaysia dan bertukar fikiran secara terbuka mengenai perkembangan dunia,” katanya.



