
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn. Bhd., Datuk Shariman Jamil menerima Anugerah Top CEO Icon Leaders Award sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangannya dalam pembangunan industri semikonduktor berteknologi tinggi.
Anugerah berkenaan disampaikan pada International CEO and Business Leaders Forum 2026 yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel.
Pengiktirafan itu hadir ketika SMD Semiconductor mempergiat usaha membangunkan teknologi dan harta intelek tempatan yang berpotensi dikomersialkan di pasaran antarabangsa.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Shariman menyifatkan anugerah berkenaan bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya mencerminkan komitmen seluruh pasukan SMD Semiconductor dalam merealisasikan aspirasi pembangunan teknologi Sarawak.
Menurutnya, kejayaan syarikat itu turut didorong oleh hala tuju strategik Kerajaan Sarawak yang memberikan penekanan terhadap pembangunan industri semikonduktor bernilai tinggi.
“Sejak penubuhannya pada 2022, SMD Semiconductor berusaha membina kepakaran tempatan supaya Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah mampu menghasilkan serta memiliki teknologi sendiri,” katanya lagi.
Antara pencapaian syarikat itu ialah pembangunan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa berasaskan galium nitrida (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan di Sarawak.
Teknologi berkenaan diperkenalkan pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 pada Oktober lalu.
Cip tersebut dibangunkan bagi aplikasi elektronik kuasa generasi baharu, termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar dan teknologi pengurusan kuasa.
Dalam pada itu, Shariman berkata, pembangunan teknologi tempatan perlu diterjemahkan kepada produk serta peluang komersial yang mampu menjana nilai ekonomi secara berterusan.
“Pembangunan keteq.GaN merupakan satu pencapaian penting, namun usaha menghasilkan teknologi itu hanyalah langkah awal ke arah pengkomersialan yang lebih meluas.
“Langkah seterusnya kami adalah memberikan tumpuan kepada pengkomersialan, kerjasama strategik dan peluasan akses ke pasaran global,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, SMD Semiconductor akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan produk, kerjasama strategik industri dan peluasan akses pasaran antarabangsa.
Usaha tersebut turut bertujuan memperkukuh kepakaran jurutera tempatan serta meningkatkan penyertaan Sarawak dalam rantaian nilai industri semikonduktor global.
SMD Semiconductor merupakan syarikat reka bentuk semikonduktor yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi State Financial Secretary Incorporation (SFS Inc.).
Syarikat itu ditubuhkan bagi membangunkan teknologi dan harta intelek tempatan, selain menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi Sarawak melalui industri berteknologi tinggi.



