
KOTA SAMARAHAN – Kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka terus diberi perhatian menerusi penyediaan kediaman yang selesa, selamat serta berkualiti bagi menjamin kesejahteraan warga pertahanan negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyediaan kemudahan kediaman yang baik penting bagi memastikan anggota tentera dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurutnya, pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk meningkatkan kualiti kehidupan anggota ATM bersama keluarga.
“Apabila keluarga tinggal dalam keadaan yang selamat dan selesa, anggota tentera akan dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang serta menumpukan perhatian kepada tanggungjawab menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang, pada Isnin.
Dalam pada itu, Nanta berkata, projek berkenaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kecekapan pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan serta memastikan mutu bangunan memenuhi piawaian ditetapkan.

Katanya, setiap perbelanjaan kerajaan perlu memberikan manfaat kepada pengguna melalui penyediaan kemudahan yang selamat, berfungsi dengan baik dan menepati spesifikasi projek.
Sehubungan itu, beliau mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) terus memantau keadaan bangunan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) bagi memastikan sebarang kerosakan yang dikenal pasti dapat ditangani dengan segera.
“Kerjasama antara MINDEF, pihak pengguna, JKR dan kontraktor amat penting supaya setiap masalah selepas penyerahan dapat diselesaikan dengan cepat tanpa menjejaskan keselesaan penghuni,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan kediaman serta kemudahan bersama sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Pada masa yang sama, Nanta menyeru anggota tentera serta keluarga yang bakal menghuni kediaman berkenaan supaya menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang disediakan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan, khususnya MINDEF, JKR dan kontraktor.
Katanya, penyediaan kemudahan kediaman yang berkualiti diharap dapat meningkatkan kesejahteraan keluarga anggota tentera, sekali gus membantu mereka melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara dengan lebih berkesan.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


