
KUCHING – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching pada Isnin atas tiga pertuduhan berkaitan kes mencederakan guru dan kesalahan melibatkan senjata berbahaya serta bahan letupan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, pertuduhan terhadap pelajar sekolah swasta itu dikemukakan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurutnya, remaja berkenaan hadir di mahkamah bersama kedua-dua ibu bapanya dan diwakili peguam, namun tiada pengakuan direkodkan.
Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan permohonan supaya pelajar terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Sentosa, Kuching.
Katanya, pemeriksaan berkenaan dibenarkan mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Saifullizan menegaskan bahawa Polis Kontinjen Sarawak menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.


