
KUALA LUMPUR – Tiada penglibatan atau salah guna kuasa penjawat awam berkaitan kegiatan lombong kripto haram setakat ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa tersebut.
“Setakat ini, tiada kes rasuah direkodkan berdasarkan rekod risikan PDRM. Bagaimanapun, PDRM memandang serius sebarang dakwaan penglibatan pegawai atau anggota dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.
“Ia termasuk bersubahat dalam penyambungan bekalan elektrik secara haram ke premis perlombongan mata wang kripto,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Koo Ham bertanya jika ada mana-mana pihak yang menerima sogokan daripada pihak pelombong haram mata wang kripto.
Tambah Dr Shamsul, polis juga melakukan 65 serbuan di tujuh kawasan di Manjung, Perak, iaitu Air Tawar, Beruas, Kampung Koh, Pantai Remis, Pekan Geni, Segari dan Sitiawan.
Operasi itu membawa kepada rampasan 823 mesin perlombongan, sembilan tangkapan dan tiga individu didakwa di mahkamah.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta menyalurkannya kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

