
TUARAN – Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sabah berpotensi diperluas menerusi pengoperasian pusat latihan di Tawau yang kini dalam proses persediaan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, pusat latihan di Tawau masih belum mencapai tahap persediaan 100 peratus, menyebabkan peserta yang sepatutnya menjalani latihan di lokasi itu dipindahkan ke Pusat Latihan Rela Negeri Sabah (PLRNS).
“Di Sabah juga ada satu di Tawau. Kita sudah pun melawat pusat wartanya itu tapi persediaannya belum lagi 100 peratus. Jadi sudah tentunya kita akan meneruskan program ini.
“Jika berpeluang, kita mahu menambah lagi pusat latihan PLKN di Sabah. Buat masa ini, pusat latihan di Tawau masih belum siap sepenuhnya. Jadi, peserta yang sepatutnya menjalani latihan di sana dipindahkan sementara ke pusat latihan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Wartawan TMP selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 Pusat Latihan Khidmat Negara 3.0 di PLRNS, di sini, pada Isnin.

Jonathan berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi menaik taraf beberapa lokasi latihan yang dicadangkan di seluruh negara bagi meningkatkan kapasiti penyertaan program berkenaan.
Katanya, PLKN 3.0 mencatatkan penyertaan lebih 4,700 peserta pada tahun ini berbanding jumlah lebih rendah pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan program berkenaan mendapat sambutan dan mampu dilaksanakan dengan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan PLKN turut memberikan kelebihan kepada peserta, khususnya dalam peluang kerjaya dan pendidikan selepas menamatkan latihan.
Menurutnya, sebanyak 30 peratus peruntukan peluang dalam pengambilan jawatan persekutuan disediakan kepada mereka yang telah menamatkan latihan PLKN.
Selain itu, peserta turut diberikan kelebihan dalam bidang pendidikan serta pertimbangan khas bagi mereka yang berminat menyertai pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Jadi sebab itu, ini sangat penting. Bahkan hidup mereka akan diperhatikan sampai umur 35 tahun, di mana kerajaan akan perhatikan kalau dia belum ada kerja atau belum sambung sekolah.
“Kalau dia tiada tempat sekolah, dirancang mereka masuk TVET. Jadi kita memperhatikan mereka. Mereka adalah seperti permata bagi negara kita,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah, disiplin dan kekuatan diri, malah turut mempersiapkan golongan muda dengan kesediaan mental serta rohani untuk menghadapi masa depan.
Tambahnya, penyertaan belia daripada pelbagai kaum dalam satu pasukan juga penting bagi memupuk semangat kerjasama, interaksi dan komunikasi antara kaum demi melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Sebagai rekod, seramai 233 wira PLKN yang terdiri daripada 160 wira lelaki dan 73 wira wanita berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang merangkumi modul ketenteraan dan kenegaraan.


