TEMERLOH – Program Desa-Q Sihat terus diperkasa bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga emas di kawasan FELDA mengenai kepentingan pengambilan ubat secara betul bagi memastikan keberkesanan rawatan serta penjagaan kesihatan yang lebih baik.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, pemilihan FELDA Bukit Damar sebagai lokasi pelaksanaan program berkenaan amat bertepatan memandangkan majoriti penerokanya kini terdiri daripada golongan warga emas.
Menurutnya, FELDA Bukit Damar yang hampir mencecah usia 48 tahun mempunyai ramai peneroka berusia antara 60 hingga 70 tahun ke atas yang perlu diberikan pendedahan mengenai kaedah pengambilan ubat secara betul.
“Program ini sebenarnya kita nak menyedarkan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan ubat yang betul kerana kadang-kadang, terutama warga emas, mereka tersilap cara makan atau mengambil ubat pada masa yang tidak betul.
“Apabila ubat diambil dengan cara yang tidak betul, ubat yang baik macam mana sekalipun tidak akan berkesan.
“Sebab itulah kita mahu masyarakat memahami kaedah penggunaan ubat yang betul di rumah,” katanya kepada Pahang Media.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Sharif dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Lanchang, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli.
Dalam pada itu, Razali berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan RM90,000 bagi memperluaskan pelaksanaan program Desa-Q Sihat kepada tiga daerah tahun ini, berbanding hanya satu daerah setahun sebelum ini.
Peruntukan sebanyak RM30,000 bagi setiap daerah itu melibatkan Rompin, Temerloh dan Lipis.
“YAB Menteri Besar amat prihatin terhadap kesihatan rakyat, sebab itu pada tahun ini beliau meminta supaya program ini diperluaskan kepada tiga daerah,” katanya.
Beliau berkata, Desa-Q Sihat adalah inisiatif Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang menerusi Inisiatif Kampung Angkat dengan FELDA Bukit Damar menjadi lokasi keempat pelaksanaannya.



