
KUANTAN – Pendekatan turun padang Kerajaan MADANI terus mendapat sambutan apabila 14 siri Program MADANI Kita (PMK) berjaya menarik penyertaan lebih 51,000 orang di seluruh negara setakat ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, pencapaian itu membuktikan hubungan langsung antara kerajaan dengan rakyat masih relevan dan perlu diperkukuh.
“Program MADANI Kita adalah usaha Kerajaan MADANI mendekati masyarakat secara langsung.
“Kita mahu rakyat bukan sahaja mengetahui dasar dan inisiatif kerajaan, tetapi turut mendapat peluang menyuarakan pandangan selain menerima maklumat tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita Parlimen Indera Mahkota 2026 di Dewan Taman Impianku, dekat sini, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Antara inisiatif utama termasuk bantuan SARA yang dinaikkan sehingga RM150 sebulan, Bantuan Awal Persekolahan ditingkatkan kepada RM200 bagi setiap murid dan gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 bermula Jun 2027.
Kerajaan juga merancang melaksanakan 35,000 Jualan RAHMAH dan Agro MADANI pada tahun hadapan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Menyentuh pembangunan setempat, beliau berkata Indera Mahkota mempunyai potensi ekonomi yang besar dengan pembinaan Stesen ECRL Kota SAS yang dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan memberikan perhatian terhadap keperluan pembangunan di sekitar stesen ini, khususnya penyediaan kawasan perumahan yang terancang termasuk kemudahan asas bagi peniaga kecil dan masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Farhan mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan berita palsu dan penipuan berkaitan bantuan kerajaan yang tersebar di media sosial.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat dan mendapatkan berita daripada saluran rasmi kerajaan.
“Sebab itulah program seperti ini penting. Kehadiran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) bersama agensi kerajaan lain membolehkan masyarakat mendapatkan penerangan secara terus, bertanyakan soalan dan memahami inisiatif yang disediakan,” jelasnya.
Program anjuran JKOM itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan, Jualan RAHMAH MADANI, perkhidmatan percuma dan aktiviti kemasyarakatan di satu lokasi.


