
KOTA KINABALU – Pemimpin terdahulu perlu menjelaskan mengapa pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah tidak dapat diteruskan seperti di Sarawak selepas kaedah Pelaksanaan Projek (PDP) ditamatkan, kata Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim.
Katanya, persoalan itu wajar dikembalikan kepada pemimpin yang mentadbir ketika keputusan penamatan PDP dibuat kerana mereka perlu memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai perbezaan pelaksanaan projek di kedua-dua negeri.
“Pada masa PDP itu dibatalkan, mereka berkuasa. Mengapa Sarawak boleh meneruskan Pan Borneo mereka, tetapi Sabah tidak? Itu kita pulangkan soalan kepada merekalah.
“Pelaksanaan Pan Borneo di Sarawak tetap diteruskan meskipun kaedah PDP ditamatkan dan digantikan dengan kaedah konvensional, sedangkan projek di Sabah tidak dapat diteruskan pada kadar yang sama ketika itu,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas Mesyuarat Pemimpinan Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Azrul berkata, pelaksanaan Pan Borneo Fasa 1B di Sabah bermula pada 2024 di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sebanyak 16 pakej dalam Fasa 1B dilaporkan mendahului jadual, sekali gus perlu diambil kira dalam menilai perkembangan pelaksanaan projek berkenaan.
“Kalau ada isu berkaitan kelewatan, kita juga perlu adil melihat apa yang dilakukan kerajaan negeri, khususnya dalam pelaksanaan pakej-pakej Fasa 1B yang banyak mendahului jadual,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berharap kontraktor yang terlibat dapat memastikan kerja-kerja pembinaan terus dipertingkatkan bagi mengejar dan memenuhi jadual yang telah ditetapkan.
Azrul berkata, matlamat utama pelaksanaan projek itu adalah untuk memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan jalan raya yang selamat dan efisien.



