
KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian pergaduhan di tangga bersebelahan sebuah premis perniagaan di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, dipercayai cuba menghalang suspek mengejar penjual makanan, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian mangsa berumur 31 tahun itu daripada Jabatan Kecemasan Hospital Likas, kira-kira pukul 6.43 pagi.
“Siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu bertengkar dengan seorang lelaki penjual makanan sebelum cuba menikam lelaki berkenaan menggunakan pisau lipat dan mengejarnya.
“Bagaimanapun, penjual makanan itu berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa yang berada di sebuah pusat snuker berhampiran kemudian cuba menghalang tindakan suspek daripada terus mengejar penjual makanan berkenaan.
“Suspek dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum menikam mangsa ketika terserempak dengannya di tangga bersebelahan premis terbabit.
“Mangsa sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir kenderaan berhampiran,” ujarnya.
Tambah Syed Lot, mangsa dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital sebelum disahkan meninggal dunia pukul 6.44 pagi.
Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjual makanan terbabit sementara usaha mengesan suspek dan saksi lain diteruskan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemukan beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis selain bedah siasat akan dijalankan esok.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Foto: Polis Daerah Kota Kinabalu



