
KUANTAN – Program MADANI Kita (PMK) Kampung Padang @ Indera Mahkota menjadi platform memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan secara lebih bersasar, inklusif dan mesra rakyat.
Program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri itu berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Impianku, di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Turut hadir Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali, serta wakil kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pemimpin komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sebagai kesinambungan Program MADANI Rakyat, PMK dilaksanakan secara lebih bersasar bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan, bantuan dan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan secara langsung di satu lokasi.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk semakan Wang Tidak Dituntut, urusan pendaftaran melalui Bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara, perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta cetakan semula sijil akademik.
Bagi membantu meringankan kos sara hidup, program itu turut menawarkan Jualan RAHMAH MADANI, Jualan Agro MADANI dan jualan hasil laut, selain penyampaian Bakul RAHMAH MADANI kepada penerima yang dikenal pasti.
Pengunjung turut menikmati pelbagai perkhidmatan percuma termasuk pemeriksaan kesihatan dan pergigian, pertukaran topi keledar, gunting rambut, penukaran minyak motosikal serta pengagihan biji benih dan anak pokok.

Program ‘Jom Exchange al-Quran’ oleh Kementerian Dalam Negeri turut memberi peluang kepada masyarakat menukar naskhah al-Quran yang rosak atau lusuh.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut memeriahkan program, antaranya Kenduri Rakyat, pertandingan e-sukan, sukaneka, memanah, sepak penalti dan pertandingan mewarna.
Sesi penerangan berkaitan keselamatan internet, kesiapsiagaan Monsun Timur Laut serta pembangunan belia turut diadakan.
Selain memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan, program itu menjadi platform komunikasi dua hala bagi membolehkan masyarakat mendapatkan penjelasan, menyuarakan pandangan dan memahami dasar serta inisiatif semasa kerajaan.


