
ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) mencatat rekod baharu apabila seramai 3,775 graduan bakal menerima ijazah dan diploma pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 universiti itu yang berlangsung selama empat hari bermula esok.
Jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah penganjuran konvokesyen UNIMAP sejak penubuhannya, sekali gus mencerminkan perkembangan universiti berkenaan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri negara.
Naib Canselor UNIMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, istiadat yang berlangsung sehingga 17 November itu akan diadakan dalam tujuh sidang di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UNIMAP Pauh Putra.
Katanya, daripada keseluruhan graduan, seramai 1,114 orang merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, diikuti Sarjana Muda Perniagaan (609) dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (501).
“Selain itu, seramai 90 graduan akan menerima Ijazah Sarjana, 77 Doktor Falsafah (PhD), 17 Sarjana Profesional, 554 Sarjana Muda Profesional dan 94 Diploma Profesional,” katanya pada sidang media di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di sini hari ini.
Zaliman berkata, istiadat kali ini turut menyaksikan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada pembangunan industri semikonduktor negara.
Menurutnya, penganugerahan itu juga mengambil kira peranan Wong dalam memperkukuh bidang kejuruteraan, pendidikan serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 2,116 graduan atau 56.05 peratus daripada keseluruhan graduan yang diraikan pada konvokesyen kali ini sudah memperoleh pekerjaan berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sehingga 6 November lalu.
“Selain itu, seramai 407 graduan melanjutkan pengajian, 62 meningkatkan kemahiran manakala 113 lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya.
Istiadat Konvokesyen Ke-21 UNIMAP itu turut dijadualkan diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis merangkap Canselor UNIMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor UNIMAP, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


