YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ceramah semasa program Pesta Melaka Rumah Kita di Alor Gajah, Melaka. 12 November 2026. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the accompanying caption. Any further reuse ma
RAKYAT tidak seharusnya menerima semula pemimpin yang terbabit dengan rasuah dan penyelewengan, sebaliknya perlu menilai kepemimpinan berdasarkan prestasi serta usaha yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pandangan itu disuarakan dua orang awam yang ditemui dalam tinjauan The Malaysia Press (TMP) dengan masing-masing menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan perkembangan ekonomi negara serta bantuan yang diterima.
Seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang hanya mahu dikenali sebagai Wee, 63, berkata, rakyat tidak boleh menerima pemimpin yang terbabit dengan perbuatan rasuah kerana bimbang perkara sama berulang sekiranya mereka kembali berkuasa.
“Rakyat memang kita tak boleh terimalah perasuah, penyakau. Nanti akan ulang balik, kita tak boleh terima,” katanya kepada TMP.
Mengulas kepemimpinan Anwar, Wee menyifatkan perkembangan ekonomi negara ketika ini berada pada landasan positif, antaranya berdasarkan kemasukan pelaburan asing dan pengukuhan nilai mata wang.

“Memang Perdana Menteri, setakat ini kita tengok dia yang paling baiklah dari segi apa pun. Ekonomi baik. Boleh tengok kita punya pelaburan asing masuk, mata wang pun kukuh. Ekonomi baiklah. Antara rantau ASEAN pun paling baiklah.
“Saya sokong PH (Pakatan Harapan)” katanya.
Sementara itu, seorang pesara tentera yang hanya dikenali sebagai Raju menyuarakan rasa puas hati terhadap kepemimpinan Anwar, khususnya menerusi penyaluran bantuan kepada golongan veteran.
Dia berkata, sebagai veteran berusia lebih 60 tahun, beliau menerima bantuan RM500 setiap bulan bagi membantu menampung kos sara hidup, selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan lain yang diagihkan empat kali setahun.
“PMX memang bagus. Saya sebagai veteran tentera, banyak kita orang dapat. Setiap bulan saya dapat RM500 untuk veteran-veteran sebab saya sudah berumur 60 tahun, selain STR dan satu lagi bantuan yang diberikan empat kali setahun.
“Setiap kali memang saya dapat,” katanya yang turut berpandangan bahawa Anwar belum mempunyai pengganti yang dilihat mampu mengambil alih kepemimpinan negara ketika ini.

Dalam pada itu, Raju berkata pengalamannya berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendorongnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat walaupun sudah bersara.
Katanya, dia sering menghubungi wakil rakyat kawasannya bagi menyampaikan masalah penduduk dan berpuas hati apabila aduan berkenaan mendapat perhatian serta tindakan susulan yang pantas.
“Kalau saya telefon, dia tak jawab, dia akan telefon saya semula. Saya selalu hubungi mereka bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk penduduk setempat.
“Bila saya telefon saja, mereka akan pergi bantu. Saya bukan ahli mana-mana parti politik, saya hanya rakyat Malaysia. Saya pernah berkhidmat untuk negara, jadi tak salah untuk saya berkhidmat untuk Malaysia,” katanya.

